Lebih 30 tahun angka usianya, kedai buku terpakai Junk Book Store masih gagah menaungi Jalan Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur. Lot bangunan kedai tinggalan zaman kolonial itu terkenal sebagai kedai buku terpakai terbesar di Malaysia.
Ia memiliki lebih tiga juta buku terpakai, sekali gus menjadikan ia lokasi ulat buku menyelami khazanah ilmu.
Pengurus kedai, Jeffrey Koh, 68, ketika ditemui mesra melayani Utusan Malaysia.
“Hampir semua buku lama ada di sini. Sejarah, politik, novel mahupun komik adiwira,” katanya tersenyum memulakan bicara. Premis itu dimiliki adik Koh, Adelyn Koh dan suaminya, Tan Chee Kee.
Cerita Koh, Junk Book Store menghimpunkan koleksi buku lama tidak ternilai harganya, terutamanya buku sejarah.
Katanya, memang ada berpendapat harga buku lama di sini agak mahal, kalau dibandingkan di kedai lain.
“Tetapi bagi orang yang faham tentang nilai buku, ia bukan persoalan utama. Mereka tidak peduli pun tentang harga, kerana mereka mementingkan aspek keaslian senaskhah buku.
“Sebuah buku biasanya menjadi mahal kerana kesukaran mendapatkannya. Tidak kiralah di kedai buku terkenal atau atas talian,” katanya menjelaskan mengenai ‘kriteria’ buku mahal.
Jelas Koh, dalam banyak peminat buku lama yang mahal, beliau dapati pelanggan Melayu tidak pernah berkira untuk mengeluarkan duit lebih semata-mata memiliki buku lama di ingini.
Malah katanya, ada sanggup menghabiskan sehingga ribuan ringgit setiap kali membeli.

KALAH DENGAN TEKNOLOGI
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu sebetulnya peminat buku. Genre politik dan sejarah menjadi kegemarannya. Beliau juga tidak pernah jemu menceritakan kisah kedai buku itu kepada sesiapa sahaja bertanya.
Dalam banyak koleksi buku itu, antara naskhah memiliki nilai tertinggi ialah buku sejarah berjudul Malaysia Chinese Resistance to Japan 1939 -1945 dijual sehingga mencecah RM18,000 senaskhah!.
Pun begitu, Koh akur, setinggi mana pun harga naskhah lama, ia ‘kalah’ pada teknologi.
“Perkembangan teknologi menyebabkan orang semakin kurang minat membaca buku. Perniagaan kami kian merosot berbanding 20 tahun yang lalu.
“Kebanyakan pelanggan datang ke sini dan mencari buku pun, mereka hanya membeli buku novel lama. Mungkin kerana kualiti bahasa buku lama lebih bagus,” katanya.

Justeru katanya, dalam memastikan perniagaan itu boleh bernafas, ibu bapa dan kerajaan harus memainkan peranan penting dalam menerapkan minat membaca ini dalam diri anak-anak sejak usianya masih kecil.
“Minat membaca harus dipupuk daripada kecil, saya berharap hobi membaca buku ini tidak akan lenyap ditelan masa. Membaca di atas talian dengan membaca sebuah buku dalam bentuk fizikal, mempunyai perbezaan ketara.
“Perasaan dan rasa itu berbeza. Malah membaca buku kurang memberikan risiko mata rosak,” katanya memberi reaksi.










