Mukadimah
Ibarat mengharapkan si pegar, namun pegar pula makan padi. Demikian nasib kerajaan apabila terpaksa berdepan kerugian puluhan juta ringgit, susulan dana yang disalur kepada segelintir pemain industri filem tanah air, lesap entah ke mana.
Ceritanya, dahulu kerajaan ingin galakkan pemain industri hasilkan filem yang memperkasa tema kenegaraan dan nasionalisme. Namun pihak lagi satu pula beralasan, filem sebegitu tiada nilai komersial.
Maka berpuluh juta ringgit diperuntukan untuk merangsang pembuat filem. Malangnya, apabila duit bertukar tangan, harapan setinggi gunung untuk melihat industri filem disuburkan dengan karya bertemakan kenegaraan, rupanya berderai menjadi debu.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut isu membabitkan wang rakyat ini, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub, Aida Rizmariza Kamaruddin, Ku Syafiq Ku Rozi serta Fahmi Faiz, bersoal jawab dengan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid. Ikuti wawancara eksklusif ini yang turut disertai jurugambar Muhammad Fariz Rusadio.
KUALITI FILEM LEMAH?
MINGGUAN MALAYSIA: Ada mendakwa filem Malaysia, khususnya Melayu masih lemah dari banyak segi. Komen tuan?
ZAKARIA ABDUL HAMID: Ini soalan yang sangat baik. Sebenarnya bila kita sebut baru-baru ini nak bawa filem Malaysia ke anugerah berprestij seperti Oscar, kita bukan sekadar nak pergi ke sana semata-mata atau untuk hantar filem ke sana. Sebaliknya proses ke arah itu harus bermula sekarang. Apa yang kita buat sekarang ini, program pertama adalah skim akreditasi. Ini program untuk tingkatkan kualiti perfileman kita.
Boleh jelaskan lebih lanjut?
Bila kita sebut perfileman ini, maknanya bukan filem sahaja tapi keseluruhan industri, dari pelakonnya, penerbit, pengarah, jurukamera, semua kita nak buat akreditasi. Dengan langkah ini, kita akan dapat kenal pasti siapa sebenarnya pemain industri yang betul-betul berkualiti untuk terbitkan filem yang layak kita bawa ke Oscar. Kita tak boleh bawa sewenang-wenangnya sebarang filem, sebaliknya mesti jelas dengan akar umbi. Siapa yang buat filem itu dan sebagainya.
AKREDITASI BUAT PEMAIN INDUSTRI
Apa hasil akreditasi itu nanti? Akan keluarkan sijil kah?
Ya, akan keluarkan sijil dan ini adalah dengan kerjasama Malaysian Board of Technologist (MBOT) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pendek cerita, akreditasi ini supaya penggiat seni berdaftar dengan kita, supaya kita boleh nilai kepakaran mereka. Sebab ada sebahagian penerbit, pengarah dan sebagainya, mereka tiada latar belakang pendidikan formal, tapi mereka ada pengalaman. Ini yang kita nak iktiraf sebagai kepakaran mereka.
Tapi bukankah sekarang memang kena berdaftar dengan Finas, jadi apa bezanya akreditasi dengan sistem sedia ada?
Ya, sekarang pun nak buat filem kena daftar dengan kami, tapi yang membezakannya adalah akreditasi ini nanti yang akan memastikan kualiti filem dikeluarkan.
Adakah bermaksud setakat ini, Finas tak tapis kualiti filem yang akan dikeluarkan?
Buat, memang kita ada tapisan khususnya yang kita nak beri dana penerbitan. Semua kita tapis dulu resume dan sebagainya. Tapi apabila kita sudah ada database yang mengandungi kualiti kepakaran dan sebagainya, jadi lebih mudah.
Dua kriteria utama adalah pengalaman serta latar pendidikan formal. Sebab kita kena berlaku adil. Separuh orang ada ijazah berjela, tapi tiada pengalaman sebagai ahli industri. Maka tetap tiada kualiti, ini kebiasaannya lah. Sebahagian lain pula, mereka tiada pendidikan formal, tapi berpengalaman luas, sudah buat filem banyak, sudah ada yang pecah panggung semua, maka kita nak mengiktiraf juga mereka ini.
DANA BUAT FILEM
Dalam konteks sekarang, adakah filem tanah air yang layak ke Oscar?
Belum, tiada lagi. Sekarang ini atau lebih tepat lagi tahun depan kita nak mencuba. Sebab itu baru-baru ini kita buka permohonan untuk filem kenegaraan. Kita nak cuba untuk jemput penerbit filem ini hasilkan filem bertema kenegaraan yang mana, filem sebegini sebenarnya tiada nilai komersial.
Jadi, bila tiada nilai komersial, apa langkah kerajaan menggalakkan penerbitan filem sebegitu?
Masalah filem ini, biasanya penerbit terpaksa buat filem yang ada nilai komersial supaya mereka boleh untung dan tampung kos mereka.
Tapi untuk tema kenegaraan ini, kita nak jemput penerbit tanah air buat filem yang betul-betul berkualiti, ada fakta dan bertemakan kenegaraan, walaupun tiada nilai komersial. Kita akan tanggung kos pembikinan mereka. Mungkin tanggung 100 peratus, kita tengok kepada jalan ceritanya.
Sejauh mana sambutan terhadap projek ini?
Setakat ini ramai yang akan turut serta dan mungkin kita akan pilih lima hingga lapan buah filem bertemakan kenegeraan tahun depan, kalau ada filem yang kita rasa ada nilai untuk ke Oscar, maka kita akan bawa ke sana. Pada masa sama, kita juga akan bawa filem bernilai kenegaraan ini ke sekolah-sekolah dan institusi pengajian. Sebab kita sekarang, kita punya nilai kenegaraan itu sangat tandus dan kekurangan.
LEBIH RM30 JUTA DISELEWENG
Adakah pembiayaan ini berjaya?
Sebelum ini sebenarnya kita banyak membiayai projek penerbit untuk hasilkan filem-filem kenegaraan, tapi gagal tak ke mana. Contohnya ada filem yang cerita pasal Datuk Maharajalela di Pasir Salak, gagal.
Gagal yang macam mana?
Gagal di panggung kah?
Gagal sebab tak buat sampai siap! Dana dah bagi untuk galakkan penerbitan filem yang mengangkat nilai serta tema kenegaraan, namun kita menanggung kerugian RM32 juta.
Ceritanya begini, ada 44 syarikat yang gagal siapkan filem yang dananya kami beri. Yang ini bermula daripada Dana Kandungan Digital, yang diperkenalkan pada 2015.
Apa yang kita mampu buat, senarai hitamkan mereka. Itu yang banyak `meroyan’ tak dapat filem dan sebagainya (tertawa). Saya sekarang, bila ada mana-mana pihak memohon dana, pertama sekali kita akan semak.
Apa tindakan pengurusan Finas sekarang?
Untuk makluman, kita sedang usahakan untuk dapatkan kembali wang yang disalurkan itu. Tapi masalahnya apabila libatkan dana kerajaan ini, macam itu lah, ding dong ding dong lah. Kita sudah ada peguam, sudah mula bincang semula, tapi itulah, bila kita usahakan hendak dapatkan kembali wang, ada syarikat yang dah muflis. Mereka pun pandai, bila sudah buat masalah, dibukanya pula syarikat lain!
Siapa mereka ini?
Tak boleh sebut, yang itu lagi bahaya, sulit. Tapi pemainnya sama, dan yang sedih lagi, orang Melayu. Tapi kebanyakan kita pasti kenal, sebab industri ini bukan besar mana pun. Pusing ke mana pun, bertemu juga akhirnya. Bila sudah jadi begitu, mereka pula buat cerita, persoalkan kredibiliti, ketelusan Finas dan sebagainya.
Buat masa ini kita ambil pendekatan ‘mesra alam’ dulu, untuk tuntut kembali dana itu. Cuma pendekatan kita kalau dia masuk dan kita tak bagi, maka kita akan beritahu sebab apa. Separuh itu, mereka sedar hal ini dan sebab itu mereka senyap sahaja.
Tapi yang pasti, akan ada tindakan undang-undang daripada Finas, yang mana sekarang ini unit perundangan kami sedang berunding dengan mereka.
Macam mana boleh jadi isu ini?
Sebab itulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selalu masuk sini (tertawa). Adalah cara-cara pemberian yang tak telus dan sebagainya.
Tapi insya-Allah, setakat yang saya ada di sini, kita memang telus. Kita jelas, sebab itu siapa yang dapat dana penerbitan Finas, kita buat pengumuman, siap buat majlis lagi. Maka, akan datang kita akan perkasakan. Sekarang ada 50 lagi penerbit yang kita hendak beri surat tawaran untuk buat filem lagi, buat drama lagi. Tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita tangguh sekejap.
PUNCA FILEM MUNDUR
Punca filem Melayu terkebelakang. Siapa bertanggungjawab, penonton atau penerbit?
Masalahnya filem kita ini kata orang itu cacamarba, disebabkan oleh penerbit guna nilai komersial. Untuk mereka capai nilai komersial atau untung, apa yang diperlukan, terpaksa mengambil pelakon-pelakon yang dianggap popular dalam kalangan rakyat. Tapi apabila kita tengok nilai kualiti kerja pelakon macam kayu. Kita tidak boleh salahkan penerbit semata-mata, macam drama-drama ini, kita jelas bahawa stesen televisyen yang mahukan.
Jadi apa langkah mendidik penonton supaya wujudkan permintaan terhadap filem berkualiti dan kaya nilai kenegaraan?
Kita kena giat mempromosikan produk kenegaraan yang membentuk minda `makcik bawang’. Kita tahu cerita serius, mereka tidak mahu tonton. Jadi kita nak suapkan mereka dengan filem yang ada kualiti untuk membina bangsa dan akan ditayangkan di sekolah, institusi pengajian dan sebagainya. Baru timbul kesedaran. Benda sebegini akan ambil masa.
POLITIK DAN FINAS
Finas dibayangi orang politik?
Tiada masalah sebenarnya untuk ada orang politik, cuma jangan berpolitik. Kelebihan orang politik ini, berkaitan rangkaian dalam memudahkan urusan. Macam saya dilantik menteri, jadi kalau ada apa-apa yang perlu diusulkan saya akan terus hubungi menteri berkenaan.
Tidak semestinya benda berkaitan orang politik semua jadi negatif. Tapi saya perlu tekankan, orang politik kena tahu batas. Jangan jadikan organisasi dan agensi kerajaan untuk berpolitik.
ARTIS BERMASALAH
Sebelum ini heboh isu pelakon-pelakon bermasalah, seperti terpalit kes pengubahan wang haram, jual tubuh dan sebagainya. Komen?
Kita sudah ada perbincangan, kita nak menekankan isu-isu disiplin pelakon yang cenderung kepada masalah sosial serta yang sekadar mahu naikkan rating. Tindakan yang akan diambil melalui penahanan dana yang kita akan biayai itu, jika ada artis bermasalah yang terlibat.
Caranya, penerbit akan hantar proposal untuk pembiayaan kepada Finas, jadi antara perkara utama yang kita akan lihat senarai pelakon yang akan terlibat. Jika ada nama pelakon yang mempunyai masalah kami akan tolak proposal itu. Kecuali jika mereka bersetuju untuk menukar pelakon terbabit. Perlukan pelakon yang bersih.
Adakah ini merangkumi semua golongan penerbit?
Tidak, kami tidak boleh buat kepada semua pihak, memandangkan syarat ini hanya ditekankan kepada mereka yang mahukan dana daripada Finas.
Kepada yang menggunakan sumber kewangan sendiri, pihak kami tidak boleh buat apa-apa. Bila kita membiayai filem atau drama yang menyenaraikan pelakon bermasalah, kerajaan seolah bersubahat, ini kita tidak boleh galakkan.
Baki peruntukan RM300 juta lagi!
RATUSAN JUTA DANA PENERBITAN FINAS
Sejauh mana pemberian dana itu berjalan sekarang?
Setakat ini kita sudah keluarkan hampir 70 dana dan 50 lagi dalam giliran. Pandemik memberi kesan kepada cara penyaluran dana, pendekatan yang kita ambil agar dana yang disampaikan ini cepat sampai kepada penerbit. Untuk itu Finas lebih banyak memberi dana kepada drama dan telefilem.
Apa tujuan beri dana pembikinan filem dalam musim pandemik ini? Nak galakkan rakyat disuapkan hiburan?
Fokusnya bukan kepada penerbit, tetapi lebih kepada mereka yang berada di belakang tabir. Kita sendiri tahu mereka ini kebanyakan hanya mendapat gaji hari, jadi melalui dana ini dapat menggerakan kembali industri. Kita salurkan dana kepada penerbit untuk mencipta peluang pekerjaan kepada mereka. Jadi kalau filem, agak lambat disiapkan berbanding drama dan telefilem.
Berapa dana kerajaan kepada Finas?
Dalam Rancangan Malaysia (RMK), ada peruntukan RM550 juta setiap lima tahun kepada kami. Bila saya masuk, ada RM300 juta yang perlu dihabiskan sebelum RMK yang baru. Berada dalam kerajaan, proses penyaluran duit ini ada proses pemilihan, tak mudah. Bagaimanapun saya anggap ini hikmah, siapa sangka pada tahun ini kita akan berhadapan dengan pendemik sekali gus memberi kesan kepada industri perfileman negara. Melalui peruntukan yang masih berbaki ini, sedikit sebanyak kita mampu menggerakkan industri dalam tempoh musibah.
Bagaimanapun dana yang diberikan akan mengikut progress secara berperingkat. Ada yang akan memantau setiap progress produk yang menerima dana Finas. Kita tidak mahu mengalami masalah yang sama lagi apabila dana diberikan sepenuhnya, ada yang gagal menyiapkan produk.
NASIB PANGGUNG WAYANG
DI MUSIM WABAK
Difahamkan, panggung wayang antara yang paling terkesan akibat Covid?
Kita sudah berbincang untuk membantu pawagam, caranya adalah melalui pemberian pinjaman kewangan dalam tempoh pendemik ini, bertujuan membantu mengurangkan kerugian yang dialami. Bila semuanya sudah kembali baik, mereka boleh membayar balik pinjaman tersebut.
Bagaimana pula nasib pemain industri lain seperti penerbit?
Sementara itu, bagi penerbit filem pula kita tahu ada yang tidak boleh tayangkan. Kebanyakan filem ini berbajet besar, ikutkan memang banyak filem sudah siap dan belum boleh ditayangkan.
Finas tahu kesukaran dialami penerbit. Kami ada usulkan untuk menawarkan dana kepada penerbit ini dalam mengurangkan kerugian yang mereka alami. Contohnya, jika kos filem mereka RM1 juta mungkin kita boleh sediakan separuh daripada jumlah itu untuk membantu meringankan beban mereka sebelum filem boleh ditayangkan. – Mingguan Malaysia.










