`Dahlah curi data, pelanggan pun disapu' - Utusan Malaysia

`Dahlah curi data, pelanggan pun disapu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan setakat curi data malah curi pelanggan di syarikat tempatnya bekerja untuk kepentingan syarikat sendiri.

Itu dilakukan seorang pegawai kanan sebuah syarikat penghantaran terkemuka yang menyalahguna kedudukannya sebagai ketua di sebuah unit di agensi itu untuk meraih keuntungan besar dan `membunuh’ syarikat tempatnya bekerja.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, sumber berkata, mulanya data pelanggan yang dicuri digunakan suspek berusia 47 tahun untuk menghantar promosi mengenai perkhidmatan penghantaran yang ditawarkan syarikat dikendalikannya.

“Pelanggan yang tertarik dengan tawaran syarikat milik suspek akan beralih menggunakan khidmat syarikat suspek.

“Hari ke hari perkara itu berlarutan menyebabkan syarikat penghantaran terkemuka tempat suspek bekerja hilang pelanggan dan kerugian,” kata sumber itu semalam.

Lebih memburukkan lagi, sumber memberitahu, suspek menyasarkan syarikat e-dagang besar untuk `dipikat’ supaya beralih mengguna khidmat ditawar syarikatnya.

“Pelanggan e-dagang terpedaya selepas suspek meyakinkan mereka bahawa syarikatnya mempunyai rangkaian pelanggan lebih luas berbanding syarikat tempatnya bekerja,” kata sumber.

Justeru, kata sumber, sejak syarikat suspek dibuka tahun lalu ia telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil perbuatan khianat mengambil `keistimewaan’ dari tempatnya bekerja untuk kepentingan diri.

Sumber memberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti sama ada terdapat penglibatan individu lain di syarikat sama tempat suspek bekerja dalam aktiviti mencuri data pelanggan.

“SPRM juga sedang menyemak hasil yang diperoleh oleh syarikat suspek hasil aktiviti yang dilakukan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” kata sumber.

Suspek kini direman lima hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN