Tinggal dalam kereta selepas diberhentikan kerja - Utusan Malaysia

Tinggal dalam kereta selepas diberhentikan kerja

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi berbual dengan J. Rajakumari ketika melawat pasangan itu di Kampar, Perak, semalam. – UTUSAN/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Selepas diberhentikan kerja berikutan pandemik Covid-19, sepasang suami isteri tepaksa menjadikan kereta mereka sebagai kediaman sementara selepas tidak mampu menyewa tempat tinggal.

J Rajakumari, 45, dan suami, P Sivagamiselvan, 45, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di Johor Bahru selama hampir sembilan tahun, membuat keputusan pulang ke kampung di Kampar sejak Julai lalu apabila hilang pekerjaan.

Pada awalnya, Rajakumari merancang untuk mendiami rumah pusaka tinggalan mendiang bapanya, bagaimanapun berikutan keadaan rumah yang terlalu uzur, rosak dan tidak selamat didiami mereka memilih untuk menjadikan kereta sebagai rumah sementara.

“Kami tak tahu ke mana nak pergi, jadi kami buat keputusan tinggal dalam kereta.

“Kami letakkan kereta kami berhampiran stesen minyak di Bandar Baru Kampar supaya kami boleh gunakan bilik air di situ,” kata­nya ketika ditemui di sini semalam.

Mengakui memang tidak selesa menjadikan kereta sebagai tempat tinggal ditambah dengan keadaannya yang terpaksa bergantung dengan kerusi untuk bergerak, Rajakumari tetap nekad kerana tiada pilihan.

“Saya menghidap penyakit kencing manis kronik, tapi apa yang saya boleh buat, anak tiada, saudara tiada,” katanya.

Bagaimanapun, kisah hidup pasangan terbabit mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau membantu membaikpulih kediaman pusaka Rajakumari yang uzur menerusi program Jiwa Murni yang dijayakan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dan MIC Bahagian Kampar semalam.

Melaluinya kediaman pasangan itu dibaikpulih dengan kos lebih lebih RM20,000 yang dilaksanakan secara gotong-royong, lengkap dengan kemudahan dua bilik.

Rajakumari berkata, sementara menunggu kediaman itu siap, mereka ditempatkan di sebuah rumah sewa di taman perumahan berhampiran dengan kos dibiayai oleh MIC sebanyak RM300 sebulan.

“Mujurlah kami hanya seminggu tidur dalam kereta, kemudian tuhan datangkan orang-orang yang baik kepada kami, tak kira bangsa dan agama mereka bantu untuk pastikan kami punya rumah yang baik untuk didiami,” katanya.

Sementara itu, Nolee Ashilin yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri berkata, pihaknya akan menyegerakan pembinaan rumah itu dapat siap menjelang sambutan Deepavali, bulan hadapan.

“Apabila dimaklumkan keadaan pasangan ini, kita terus lancarkan kutipan dana, kita dapati mereka ini memang terdiri daripada miskin tegar yang memerlukan bantuan baik pulih rumah.

“Dengan dana yang ada, kita bekalkan bahan-bahan binaan dan JBPM pula menyumbang dari segi tenaga kerja untuk menyiapkan rumah ini,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN