
DI atas padang, Raheem Sterling adalah si genius yang sering memberi masalah kepada lawan dan watak penting yang membawa Manchester City mengecap pelbagai kejayaan termasuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Begitupun kehebatan dan kemasyhuran bintang England itu tidak menjadikan dia figura yang disayangi peminat bola sepak di negaranya.
Sterling antara pemain yang dibenci di England. Media lebih berminat menampilkan sisi gelap bintang kelahiran Jamaica itu berbanding kebaikan atau kehebatannya.
Ketika dia membeli sebuah rumah buat ibunya baru-baru ini, media Britain melaporkan tentang sikap pemain itu yang boros dan suka menunjuk-nunjuk.
“Mereka membina persepsi saya gilakan kemewahan, suka menunjuk terutama ketika membeli rumah untuk ibu.
“Sukar dipercayai media boleh menulis seperti itu, mereka benar-benar membenci saya.
“Kalau anda hendak tulis tentang bilik air di rumah ibu saya, apa yang saya boleh be ritahu adalah kisah 15 tahun lalu.

DIBUNUH
“Saya membantu ibu mencuci tandas di sekitar Stonebridge dan membeli makanan di mesin layan diri. Kalau ada sesiapa yang berhak gembira, orang itu adalah ibu saya.
“Ketika saya berusia dua tahun, bapa dibunuh. Tragedi itu merubah hidup kami sekeluarga.
“Ibu kemudian meninggalkan saya dan kakak di Jamaica untuk mencari rezeki di England. Dia mahu mendapatkan ijazah dan memberi kehidupan lebih baik kepada kami,” kata Sterling.
Sterling tinggal bersama neneknya di Kingston selama beberapa tahun dan ketika itu kerinduan terhadap ibunya meluap-luap.
“Saya mengisi kekosongan dengan bermain bola sepak. Saya masih ingat, kami bermain di lopak air ketika hujan. Saya mahu melupakan kesedihan dan bergembira seperti kanak-kanak lain.
“Ketika itu saya belum faham kenapa ibu tinggalkan kami. Dia mencari rezeki dengan bekerja sebagai pencuci hotel di England untuk mencari wang saku bagi membayar pengajian.
“Selepas kehidupan lebih stabil, dia membawa kami berhijrah ke Stonebridge ketika saya enam tahun.
“Saya pernah bangun seawal 5 pagi untuk bantu ibu mencuci tandas hotel sebelum ke sekolah. Ini kisah kami dulu, jadi, salahkah saya berkongsi kesenangan bersamanya,” kata Sterling, yang kini bergelar bapa
kepada tiga anak.

Pada usia 10 tahun, Sterling terpaksa ditukar ke sekolah pendidikan khas kerana mempunyai masalah tingkah laku dan mengganggu rakan-rakannya.
Gurunya di sekolah pendidikan khas Vernon House, Chris Beschi bagaimanapun menegaskan, Sterling bukan kanak-kanak tidak normal atau kurang pendidikan, sebaliknya dia memiliki kemahiran dalam banyak hal.
“Di Vernon House kami memberi pendidikan khas kepada pelajar sepertinya, dan di situlah kami dapat mengesan bahawa Raheem sebenarnya seorang yang cemerlang dalam pelajaran mahu pun di padang bola.
“Dia juga mempunyai etika kerja yang jauh lebih hebat daripada kanak-kanak lain, sebab itu saya tidak terkejut apabila dia berjaya dalam bola sepak,” kata Beschi.
Pada Piala Dunia 2018, Sterling pernah mencetus kontroversi apabila melukis tatu senjata M-16 di betisnya. Gambar Sterling terpampang di dada akhbar Britain, namun pemain itu menegaskan tatu tersebut bukan mempromosikan keganasan sebaliknya memperingati bapanya yang ditembak.











