ARAU: Sempena Hari Pos sedunia semalam, seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Simpang Empat di sini cukup bertuah apabila salah sebuah daripada 40 basikal klasik yang dimilikinya adalah jenis yang digunakan oleh perkhidmatan pos di negara ini keluaran 1950-an.
Basikal jenama Phillips yang dibeli Ku Abd. Aziz Ku Sulong, 59, sejak empat tahun lalu itu merupakan basikal yang digunakan posmen di negara ini dan United Kingdom (UK) pada zaman dahulu.
Katanya, basikal posmen yang cukup istimewa dan unik itu dibeli pada harga RM3,000 malah ramai peminat basikal klasik pernah memberi tawaran dengan nilai lebih tinggi untuk membelinya, namun dia belum bersedia menjualnya.
“Basikal posmen ini mempunyai raga di bahagian hadapan digunakan untuk meletak surat dan pam angin pada kerangka berhampiran bawah tempat duduk.
“Basikal jenis ini berwarna merah tetapi basikal saya ini berwarna hitam iaitu warna asli seperti yang digunakan posmen di UK,” katanya.
Tambah Ku Abd. Aziz, pada masa ini, dia belum bersedia menjual basikal tersebut memandangkan model tersebut cukup sukar diperoleh khususnya di negara ini.
“Saya selalu membawa basikal ini khususnya dalam program-program basikal klasik termasuk dalam program kayuhan di Perak sebelum ini.
“Meskipun memiliki banyak basikal klasik namun basikal posmen ini antara yang saya sayang dan cukup istimewa. Saya tidak pasti sama ada di Perlis ini masih ada atau tidak basikal klasik ini yang dijadikan sebagai koleksi.
“Saya mula mengumpul basikal klasik sejak belasan tahun lalu dan tidak kisah membelanjakan banyak duit untuk minat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










