IPOH: Kira-kira 4.8 tan sampah sarap dikeluarkan dari rumah yang didiami pesara guru di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini semalam.
Kerja-kerja pembersihan yang bermula pukul 7.30 pagi dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggunakan lima buah lori.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, sampah sarap itu dibawa ke pusat kitar semula untuk pengasingan.
“Kita dapat persetujuan daripada Chung Sook Khuan untuk masuk ke dalam rumah. Sekiranya memang terdapat sampah, kita akan keluarkan (buang).
“Kita mahu dia hidup dalam persekitaran sihat. Jika di luar sahaja bersih namun dalam rumah sebaliknya, ia tetap tidak menjamin persekitaran baik,” katanya selepas meninjau operasi pembersihan oleh MBI di sini, semalam.
Menurut beliau, wanita itu dinasihatkan tidak mengulangi ‘hobi’ mengumpul barang terbuang atau berdepan tindakan sekiranya masih mengulanginya.
Katanya, pemeriksaan secara berkala akan dilakukan MBI.
“Saya beritahu Cikgu Chung jangan lagi kumpul barang dan bawa balik ke rumah. Kami menasihati dia sebelum disusuli kaunseling dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










