MUKADIMAH
Kesenian bukan sahaja membudayakan masyarakat, malah turut memakmurkan ekonomi. Buktinya, industri kreatif yang bertindak sebagai cabang induk kesenian tanah air, menyumbang 2.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malangnya, segelintir penggiatnya ibarat nila setitik yang merosakkan imej keseluruhan industri. Godaan glamor dan status telah mengheret sesetengah artis untuk jual tubuh, terbabit dalam pengubahan wang haram serta bergelumang najis dadah.
Bagi mendapatkan penjelasan mengenainya, wartawan Mingguan Malaysia, Alif Fadli Mohd. Sori, Roshihan Annuar Yub serta Fahmi Faiz menemu bual Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil yang juga dikenali sebagai Zed Zaidi. Ikuti wawancara ini yang mengupas sisi ‘belakang tabir’ industri itu.
SENIMAN MALAYSIA
MINGGUAN MALAYSIA: Berapa ramai artis bernaung bawah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)?
ROZAIDI: Kita ada 7,000 artis kesemuanya. Kita termaktub dengan peraturan kecil bawah Finas, bila mereka nak mendapatkan permit penggambaran (SPP), maka borang yang diambil di Finas mesti mengikut syarat dipanggil Syarat Padu Citra. Kemudian borang SPP ini perlu melalui pejabat Seniman, kena senaraikan semua pelakon yang terlibat dalam penggambaran, supaya kita boleh kenalpasti. Ini membolehkan kita kumpulkan data lengkap mengenai penggiat seni khususnya artis seluruh tanah air.
Adakah semua artis harus berdaftar di bawah Seniman?
Ya, sebenarnya memang kena berdaftar. Kalau satu-satu filem nak dihasilkan, producer akan pergi ke Finas, kena ambil permit itu. Semua sama, drama, iklan, filem, dokumentari dan semua yang libatkan seni visual. Maknanya, pacak sahaja kamera di Malaysia ini, kena ambil permit dipanggil SPP itu. Di bawah SPP inilah ada Syarat Padu Citra, yang ada nama Seniman.
ARTIS DAN DADAH
Sejauh mana artis terlibat dadah?
Memang ada segelintir ambil dadah. Sebenarnya ada kajian akademik lengkap yang saya telah buat, dengan bantuan Seniman, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Universiti Multimedia (MMU), untuk kenal pasti artis ini terlibat dadah jenis apa. Adakah faktornya akibat artis sering kerja lebih masa? Jadi kalau ya, kita akan berusaha untuk tetapkan had waktu bekerja dalam kalangan artis.
Jadi apa faktor artis ambil dadah?
Kita cerap data autoritatif untuk mendalami persoalan ini, sebab ini isu serius dalam industri. Pertama sekali, kita edarkan 1,000 borang kajian. Kemudian kita temu ramah 100 artis. Daripada jumlah itu, kira-kira 80 orang mengaku ambil dadah. Saya tak boleh beri nama, sebab itu sulit dan jaga privasi.
Cakap soal faktor, pertama kita dapati mereka terpengaruh budaya barat. Rata-rata yang ditemu ramah, adalah penggiat seni yang veteran. Jadi kata mereka, pengaruh Woodstock susulan kebangkitan Jimi Hendrix, yang menular sampai era 1980 dan 90-an.
Adakah budaya barat satu-satunya faktor?
Tidak, sebaliknya apabila dadah dah berakar umbi, ada pula satu budaya dalam kalangan artis. Apabila ada rakan yang dipancing, tapi menolak untuk ambil dadah, maka kumpulan artis ini pulaukan mereka, pinggirkan kawan itu. Kesannya, ramai yang terjebak, sebab takut kena pulau oleh kawan-kawan dalam industri.
KAIS PAGI MAKAN PAGI
Kenapa artis jual tubuh? Tak cukupkah pendapatan hasil seni?
Kita kena faham, artis ini sebilangan kecil saja yang memang betul-betul mewah, hanya 10 peratus sahaja yang memang benar-benar stabil, selebihnya tidak. 90 peratus artis ini hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tiga bulan ada job, kemudian setahun straight tiada job. Sebab apa? Kalau kita tengok sebenarnya hanya artis yang sama sahaja di stesen televisyen. Balik-balik muka sama.
Berapa ramai artis di bawah persatuan yang terlibat?
Saya tak boleh beri statistik itu. Aduan memang ada, tapi sewaktu zaman dahulu. Kalau disebut dalam konteks sekarang pula, memang tiada aduan diisukan. Tapi isu ini muncul melalui siasatan dan pendedahan SPRM. Maknanya SPRM ada data mengenainya. Kalaulah kita pun ada data, kita akan kerjasama lah dengan SPRM.
Isu macam ini boleh tamat? Atau akan berlarutan sehingga bila-bila?
Memang tidak akan habislah. Dalam keadaan sekarang ini, keadaan kesempitan ini, kalau orang offer sikit sahaja, walaupun benda itu dalam keadaan yang tak baik, orang ambil juga. Dalam keadaan sekarang, nak buat job susah, nak keluar buat job pun susah. Macam mana nak survive? Orang cucuk sikit dengan benda macam ini memang akan kelabu matalah.
Maksudnya artis jual tubuh memang wujudlah?
Tak semestinya artis. Kau tak jadi artis pun boleh jual tubuh. Cuma bila artis atau kau glamor dalam media sosial seperti Instafamous, dapat demand tinggi sikitlah. Harga mahal sikitlah. Itu bezanya.
ADA POLITIKUS TERLIBAT SKANDAL
Sejauh mana penglibatan orang politik dengan artis dalam skandal seks?
Tidak dapat dinafikan, salah satu kategori lah. Segelintir mereka yang terlibat dalam isu skandal seks ini adalah orang kaya dan politik. Selalunya melalui broker. Tetapi mereka yang berstatus VIP mesti jaga identiti mereka. Kita tidak boleh tolak kemungkinan itu.
Sepanjang jaga Seniman sejak 2012, pernah dengar isu skandal seks ini dalam persatuan?
Sebenarnya dah lama kita dengar. Aduan mengenai kegiatan ini dah lama kita terima. Dari zaman dulu, walaupun waktu itu media sosial masih belum berkembang lagi dah ada. Tapi bila media sosial semakin meluas sekarang, lebih mudah dapat maklumat. Jadi benda ini lebih banyak orang gunakan media sosial, khususnya artis ini untuk cari kemewahan.
WANG HARAM
Kenapa anak seni mutakhir ini sering dikaitkan dengan pengubahan wang haram?
Kelemahan kita adalah informasi. Oleh itu, kita sedang bekerjasama dengan SPRM bawah GIACC untuk mengadakan seminar atau bengkel untuk beri maklumat tentang pengubahan wang haram. Kita tak boleh salahkan mereka jika ada yang datang menawarkan pelaburan. Kita tak ada pihak penilaian untuk tahu sumber wang dari mana.
Ada faktor lain sebagai pendorong?
Tidak dinafikan, ikut kawan-kawan. Macam dadah juga. Terpengaruh dengan ajakan dan desakan. Sekarang dah jadi satu trend, nak tunjuk kemewahan sebagai kaedah pemasaran. Persaingan sesama artis. Tetapi orang sekarang boleh nilai, ada sahaja pelakon yang tak kaya. Kebanyakan artis perempuan kaya, mungkin ada jual produk. Tetapi baru jual sudah kaya? Pelik.
Kita kena faham bab cuci duit ini. Media sosial digunakan sebagai platform tunjuk wang tunai, tunjuk kaya. Pihak penguat kuasa melihat dan memerhati. Akhirnya dipanggil dan ditanya, mana dapat duit? Ada artis yang nak kaya, bila orang melabur tak akan nak tolak kan? Ada yang buat perniagaan konon nak bantu masyarakat, tetapi lama-lama jadi menunjuk.
Persatuan Seniman ada pengalaman didekati money launderer?
Setakat ini belum lagi, sebab kita berhati-hati. Misalnya, kalau ada orang nak pump duit RM1 juta ke Seniman, tak ke pelik? Tapi Seniman selalu berdepan dengan janji manis, ada pihak mendekati kami sebab nak gunakan data artis dalam industri, yang disimpan pihak kami.
MCIX, DATA PERIBADI DAN PAKATAN HARAPAN
Data yang macam mana?
Dahulu sewaktu Pakatan Harapan (PH) perintah, kami pernah hantar proposal kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Berkali-kali kami hantar, sepanjang setahun banyak usaha kami buat untuk itu. Mereka bukan sahaja tak layan kami, malah pernah suruh saya serahkan proposal itu kepada pengawal keselamatan yang berkawal di bahagian lobi kementerian. Saya cakap tak mengapalah, mungkin Menteri PH waktu itu tidak berminat nak bekerjasama dengan kita, tak mengapalah kan?
Kemudian apa berlaku? Apa kaitan dengan data yang disebut tadi?
Satu hari, Allah SWT nak tunjuk. Beliau nak wujudkan database industri dipanggil MCIX, iaitu Malaysia Creative Industry Exchange. Launch di Finas, dan mereka perlukan data-data peribadi mengenai ahli industri khususnya artis ini lah. Waktu itu, wakil kementerian tiba-tiba datang ke pejabat Seniman, utus surat minta kami bekerjasama. Minta artis punya data dan sebagainya.
Saya beritahu admin dan ahli jawatankuasa, setahun kita minta jalinan kerjasama dengan kementerian, langsung mereka tak layan malah hina kita. Jadi kali ini, saya kata kita terpaksa beri pengajaran kepada mereka. Saya tolak permintaan mereka untuk dapatkan data kami.
Apa iktibar dalam kes ini?
Pokoknya di sini, mereka terlalu angkuh dan pandang rendah Seniman. Mereka tak sedar bahawa sebenarnya kita penyimpan data artis di tanah air. Sebab itu mana-mana pihak yang buat kajian akademik pasal artis, suka atau tidak terpaksa rujuk kepada Seniman. Dalam zaman ini, data sangat penting. Ini kuasa kita dalam industri, kita ada data lengkap. Saya tak boleh perincikan butirannya sebab tertakluk di bawah PDPA (Personal Data Protection Act).
ARTIS DAN PENGURUSAN KEWANGAN
Mengapa ada artis sohor terhimpit di usia lanjut? Tak menyimpan wang?
Dari sudut muzik, kita ada badan kutipan royalti. Dalam lakonan tidak ada. Stesen televisyen yang ambil hak cipta. Atas inisiatif, geran ambil Finas, siar di televisyen dan hak cipta kembali ke producer.
Pernah ada satu mekanisme diwujudkan untuk kutip royalti lakonan tetapi sudah jadi gajah putih. Kenapa? Kerana tidak dapat sambutan. Badan kutipan royalti inilah sebenarnya pengutip wang pencen tetapi tidak ada sambutan.
Pekerja industri bekerja by project. Dulu kita letakkan anak seni di bawah caruman sendiri. Kita masukkan sendiri, tetapi dalam industri kita mereka tak ada kesedaran untuk carum sendiri. Kita mahu ‘paksa’ mereka dan sedang usahakan itu.
ARTIS DAN BUDAYA ILMU
Apa beza artis berpendidikan dengan yang kurang berpendidikan?
Bagi saya bila ada pendidikan itu ilmu dia lebih sikit, jadi boleh menilai lah mana yang baik, mana yang tidak baik. Tapi kita tak cakaplah yang kurang pendidikan itu tidak boleh menilai baik dan buruk, cuma mungkin kurangnya ilmu itu buat dia mudah dipengaruhi dan orang senang ambil kesempatan.
Jadi memang pentinglah pendidikan ini pada artis?
Memang penting dan sangat penting. Pertama imej kita pada industri dan masyarakat. Boleh jadi contoh yang baik. Yang kedua cari ilmu ini sampai mati pun kita takkan habis belajar. Lagi banyak ilmu yang kita ada, lagi orang hormati kita.
ARTIS SEBAGAI ROLE MODEL
Artis sebagai role model, tidakkah tindakan mereka akan mempengaruhi masyarakat?
Kita tak boleh elakkan kontroversi. Berita dalam dunia seni bukan sentiasa baik. Mesti akan ada yang tak baik. Bila berdepan kontroversi, artis kena bijak berkomunikasi. Sekarang ramai artis tidak pandai berkomunikasi. Tak tahu bagaimana berdepan soalan atau spekulasi. Jadi kena bijak komunikasi. Ini akan elak penyampaian mesej tidak tepat, kerana ada kala itu faktor satu-satu tindakan dilihat buruk sedangkan sebaliknya. – Mingguan Malysia







