KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menegaskan, pihaknya sentiasa peka dan segera mengambil tindakan sekiranya ada filem yang terlibat dengan isu cetak rompak.
Katanya, Finas juga sudah mewujudkan jawatankuasa khas membanteras isu cetak rompak malah turun padang menjejaki mereka yang terlibat dengan jenayah tersebut.
“Mungkin ada pihak yang tidak maklum dengan tindakan yang sudah kita ambil. Finas sendiri ada jawatankuasa khas membanteras masalah cetak rompak.
“Malah, Finas sendiri turun padang seperti bertemu pihak platform e-dagang yang menjual filem-filem cetak rompak secara haram. Kita juga menyediakan talian hotline bagi mereka yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti cetak rompak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Ahmad Idham berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan pengarah, Syamsul Yusof apabila masalah cetak rompak masih membelenggu industri perfileman tempatan.
Secara terbuka, Syamsul juga bertanya ke mana hilang Ahmad Idham dan Presiden Seniman, Zed Zaidi ketika masih ada lagi filem yang berdepan kemelut itu.
Ahmad Idham berkata, Finas sudah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dengan cetak rompak dan tindakan akan diambil sekiranya mereka masih berdegil.
“Sebenarnya, kita sudah ketuk beberapa rumah selepas mengenal pasti mereka yang terlibat. Tetapi kami tidak boleh bergerak sendiri. Pemain industri dan orang awam juga perlu sama-sama membantu kami membanteras isu cetak rompak,” katanya.
Ahmad Idham yang juga seorang pengarah menganggap persoalan yang ditimbulkan Syamsul adalah satu provokasi sihat bagi membuktikan Finas terus bergerak membanteras isu cetak rompak.
“Syamsul sendiri selalu menghubungi Finas menawarkan bantuan untuk bengkel dan kelas-kelas. Bagi saya, dia cuma bertanya. Itu satu provokasi sihat untuk industri,” katanya.
Dalam pada itu Zed Zaidi berkata, Seniman hanya mampu membantu dan mewujudkan kesedaran supaya masalah-masalah industri dapat segera diselesaikan.
“Syamsul kena faham fungsi setiap organisasi. Seniman sekadar boleh membantu memberi kerjasama dan mewujudkan kesedaran bagi menyelesaikan satu-satu masalah contohnya seperti cetak rompak.
“Finas juga sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk membanteras isu tersebut. Cetak rompak zaman dahulu dan sekarang berbeza. Seniman sentiasa sedia untuk membantu,” katanya. – UTUSAN










