KUALA LUMPUR: Selepas menunggu selama setahun, seorang wanita warga Vietnam bergelar Datuk akhirnya boleh melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonannya menangguhkan hukuman penjara.
Tran Thi Mai, 44, atau lebih dikenali sebagai Datuk Maimunah ditahan di Penjara Wanita Kajang sejak September 2019 selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan penangguhan itu selepas disabitkan dengan kesalahan memberi rasuah kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Wanita itu bagaimanapun tiada di mahkamah semalam untuk mendengar keputusan menggembirakan itu memandangkan dia sedang menjalani tempoh kuarantin Covid-19.
Dalam prosiding semalam, Thi Mai diwakili peguam, G.K. Sritharan manakala pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa.
Turut hadir bakal suami Thi Mai.
Terdahulu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan wanita itu selepas mendapati terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dibenarkan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan agar denda RM1.75 juta yang dikenakan terhadap Thi Mai sebelum ini dijelaskan sebelum dia boleh dibebaskan.
Hakim Muhammad Jamil turut menetapkan jaminan RM400,000 dengan dua penjamin tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Thi Mai sebelum ini disabitkan dengan kesalahan memberi rasuah wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah bagi pihak Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor, Amran Daud sebagai dorongan melepaskan tiga buah bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia Tanjung Sedili yang disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.
Bagi pertuduhan kedua, Thi Mai didakwa mengulangi perbuatannya membabitkan rasuah berjumlah RM50,000 bagi tujuan serupa.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pada 26 September 2019, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga dan denda RM1.75 juta kepada Thi Mai selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah.
Gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara wanita itu boleh ditambah lagi 18 bulan. – UTUSAN ONLINE










