BALIK PULAU: Jinak dan comel namun sering dibuang pemilik sehingga akhirnya menjadi kucing jalanan.
Sejak enam tahun lalu, nasib kucing-kucing jalanan itu berubah apabila seorang pencinta haiwan dari New York, Amerika Syarikat, Teviot Fairservis, 65, menjadikan kawasan pantai di Teluk Bahang, di sini sebagai pusat perlindungan kucing terbiar.
Namun, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apa yang membimbangkan Teviot adalah terdapat peningkatan dalam kalangan pemilik kucing menjadikan ‘pantai kucing’ itu sebagai tempat pembuangan haiwan peliharaan mereka.
Pesara guru itu berkata, dia membuka pusat perlindungan kucing di Teluk Bahang bagi mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab menjaga kucing dan menyayanginya, bukan menjadikan tempat itu sebagai lokasi pembuangan haiwan tersebut.
“Selepas pantai kucing muncul dalam dokumentari awal bulan ini dan kebetulan pula PKP berakhir Jun lepas, secara tiba-tiba kami mendapat banyak panggilan daripada orang ramai untuk membuang kucing mereka.
“Ada juga yang membuang kucing ke pantai ini pada waktu malam malah ada yang bertindak membuka sangkar dan meletakkan kucing mereka di situ tanpa kebenaran kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Teviot, ‘pantai kucing’ itu kini mempunyai lebih 300 kucing dan beroperasi melebihi kapasiti kerana sikap tidak bertanggungjawab pemilik membuang haiwan berkenaan ke kawasan berkenaan.
“Pantai ini tempat perlindungan, bukan tempat pembuangan kucing kerana banyak lagi cara lain yang boleh pemilik kucing lakukan jika mereka tidak mahu lagi membela haiwan ini.
“Pemilik boleh meminta bantuan kami untuk mencari pemilik baharu atau pemilik angkat untuk kucing mereka,” katanya.
Tambahnya, jumlah perbelanjaan untuk seekor kucing di pusat itu adalah kira-kira RM100 sebulan dan ribuan ringgit diperlukan setiap bulan untuk pembelian makanan serta barangan keperluan kucing di pantai tersebut.
Selain itu, katanya, bantuan sukarelawan diperlukan untuk menguruskan kucing-kucing di situ yang semakin banyak.
“Orang ramai dialu-alukan untuk membantu kucing-kucing di sini dari segi tenaga dan sumbangan makanan,” katanya. – UTUSAN










