Mengapa perlu bahasa Mandarin? - Utusan Malaysia

Mengapa perlu bahasa Mandarin?

PORTAl SPRM dalam segmen bahasa Mandarin menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal bahasa Mandarin dalam laman web rasminya menimbulkan polemik berhubung ke­dudukan bahasa Melayu da­lam kalangan masyarakat Cina di negara ini.

Walaupun kewujudan portal berkenaan dilihat selaras dan tidak melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, ia bagaimanapun menimbulkan persoalan mengapa masyarakat Cina gagal menguasai bahasa Melayu selepas pembentukan Malaysia.

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (Kita) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pelancaran portal SPRM menjadi satu tanda aras kegagalan masyarakat Cina menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

Menurutnya, kewujudan portal SPRM berbahasa Mandarin itu juga menjadi bukti kegagalan pembinaan negara bangsa Malaysia walaupun selepas le­bih 60 tahun merdeka.

“Isu di sini adalah bahasa yang digunakan. Apabila warganegara tidak faham bahasa sendiri, ia petanda kegagalan dalam pembentukan negara bangsa. Apa erti kerakyatan yang dipegang berbanding warga­negara Bangladesh, Myanmar atau mana-mana rakyat asing jika tidak tahu menggunakan bahasa rasmi negara sendiri?

“Sangat mengecewakan apabila ada yang masih tidak boleh faham bahasa kebangsaan walaupun untuk menggunakan bahasa Melayu pasar sekalipun,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas langkah SPRM yang menubuhkan portal bahasa Mandarin baru-baru ini bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Menurut Kok Seong, semua pemimpin masyarakat Cina sepatutnya memainkan peranan bagi meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka.

“Dulu ada kalangan pe­mimpin MCA yang hantar doktor mengikuti bahasa Mandarin.Tetapi kenapa mereka tidak hantar masyarakat Cina untuk belajar bahasa Melayu.” soalnya.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, masalah penguasaan bahasa kebangsaan adalah kerana sistem sekolah vernakular.

“Ada segelintir masyarakat tertentu yang tercicir dan terperangkap dengan kepompong mereka tersendiri. Kalau dari kecil pun tidak terdedah de­ngan bahasa kebangsaan dengan baik, tidak mustahil apabila besar nanti akan hadapi masalah memahami bahasa kebangsaan.

“Sudahlah tidak faham, kerajaan perlu keluarkan dana untuk membangunkan kemudahan untuk memahami sesuatu dalam bahasa ibunda,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN