KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman masih ‘menyepi’ berhubung minatnya untuk membeli Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, tiada maklum balas diterima daripada Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida biarpun beliau sebelum ini pernah menyatakan persetujuan untuk berunding.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan andaian bahawa pemilik produk Pamoga Qu Puteh tersebut tidak lagi berminat untuk membeli kelab Liga Perdana berkenaan.
“Ya, sampai sekarang tiada khabar berita… beliau (Dr. Vida) senyap sahaja. Kalau ada sebarang maklumat terbaharu saya akan maklumkan,” kata Nokman kepada Mingguan Malaysia semalam.
Awal bulan ini, Nokman mengesahkan Dr. Vida bersetuju mengadakan pertemuan dengan KLFA.
Begitupun selepas dua minggu menanti, masih tiada khabar kedengaran.
KLFA sebelum itu memberitahu, mana-mana individu atau syarikat yang berminat mengambil alih kelab ibu kota itu perlu memiliki minimum RM5 juta.
Sementara itu, Dr. Vida mengakui, belum membuat keputusan mengenai ‘lamaran’ Kuala Lumpur kerana pengalaman membuatkannya lebih berhati-hati.
“Ya, KLFA ada mesej saya tapi saya kena tengok tawaran dahulu, kemudian menilainya,” ujarnya.
Kata Dr. Vida, beliau tidak mahu menerima tawaran secara bulat-bulat, sebaliknya mengkaji secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ya, pengalaman mengajar saya…,” katanya.
Pada 2016, Dr. Vida memeterai perjanjian dua tahun bernilai RM16 juta bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), namun penajaan tidak berjalan baik dan diwarnai kontroversi.










