fbpx

8 Mei 2021, 11:54 pm

  TERKINI

4.2 juta penduduk belum daftar pemilih

SHABUDIN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 4.2 juta penduduk berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih meskipun usia itu membolehkan mereka menentukan wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, jumlah tersebut mewakili 22 peratus daripada keseluruhan rakyat yang layak mengundi.

Katanya, meskipun dilihat kecil, kadar peratusan tersebut memberikan gambaran yang tidak memberangsangkan untuk daftar pemilih.

“Ketika ini, kita mempunyai lebih kurang 15 juta pengundi berusia 21 tahun ke atas dan kalau kita laksanakan sistem undi 18 tahun, kita akan menambah jumlah pengundi antara enam hingga tujuh juta,” katanya dipetik Bernama semasa sesi soal jawab sidang Dewan Negara di sini semalam.

Shabudin menjawab soalan tambahan Senator Ismail Yusop yang bertanya soalan berkenaan langkah kerajaan dalam memperkasakan pengundi baharu sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan had umur me­ngundi 18 tahun.

Dalam pada itu, Ismail turut mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) me­ngadakan PRU-15 selepas Julai 2021 agar dapat memberi peluang kepada anak muda terlibat secara langsung dalam pemilihan kerajaan secara demokrasi.

Pada 25 Julai tahun lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan majoriti dua pertiga yang akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun.

Bagaimanapun, penguatkua­saan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik itu dijang­ka hanya dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pada ketika itu me­nyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan merupakan individu berperanan dalam memperjuangkan penggubalan RUU tersebut menyorot kepada majoriti negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Singapura dan Lubnan.

Kedua-dua negara itu membenarkan rakyatnya mengundi seawal usia 18 tahun dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, tanggungjawab untuk menyedarkan mereka yang masih belum mendaftar tidak seharus bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata, malah, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik harus memainkan pera­nan untuk mendorong mereka mendaftar sebagai pemilih. – UTUSAN ONLINE