30 ikon muda tekad ubah landskap 'politik tua' - Utusan Malaysia

30 ikon muda tekad ubah landskap ‘politik tua’

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 ikon muda menyertai pertemu­an diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini petang semalam dengan tekad untuk mengubah politik tradisional dan keperluan menggantikan apa yang mereka dakwa landskap ‘politik tua’ yang ber­terusan di negara ini.

Dalam mesyuarat Rundingan Muda Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman itu, Syed Saddiq memberitahu Utusan Malaysia, peserta membangkitkan keperluan orang muda terlibat secara langsung dalam politik nasional tanah air tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.

“Kalangan 30 orang ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kerja dan pengalaman termasuk petani dari Sabah. Mesyuarat berjalan baik, namun kita belum bincang lagi keputusan untuk menubuhkan parti, strategi, kedudukan dan jawatan.

“Ini baru pertemuan untuk me­ngumpulkan idea. Akan ada perbincangan susulan dengan banyak lagi kumpulan orang mu­da” katanya ketika di­hubungi selepas mesyuarat yang berlangsung lebih tiga jam itu.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan tujuh ikon menyertai pertemuan dengan Syed Saddiq, antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalil Rasheed; Penyelaras Kanan Suara Rakyat Malaysia, Amir Hadi dan penerima Biasiswa Rhodes untuk menyambung pelajaran ke Universiti Oxford, Ezzaty Hasbullah.

Sementara itu, dalam wawancara dengan akhbar ini kelmarin, Syed Saddiq percaya tanggapan politik negara masih didominasi pemimpin ‘kitar semula’ turut dikongsi oleh ramai orang termasuk dirinya.

“Mereka mahukan wajah-wajah baharu, amanah, integriti dan kalau kita lihat sambil kita perjuangkan hak orang Melayu, kita tak boleh kompromi dalam hal ini.

“Contohnya kita lihat dalam satu per empat penduduk bumi di Sabah masih berada di bawah kemiskinan. Siapa yang akan perjuangkan hak mereka?

“Sebab itu kita perlu beri masa kepada yang muda tanpa melibatkan sentimen perkauman dan agama untuk selesaikan masalah negara,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×