KUALA LUMPUR: Tiada sesiapa boleh mengganggu-gugat proses undang-undang yang sedang berlangsung termasuk ahli politik dan para penyokongnya.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan, Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, mana-mana ahli politik yang terlibat dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa harus mematuhi proses undang-undang yang akan menentukan sama ada mereka bersalah atau sebaliknya.
Beliau yang juga Profesor Undang-Undang di UiTM berkata, semua pihak diingatkan menghormati proses undang-undang yang berlangsung.
“Proses undang-undang dan kedaulatan undang-undang tidak mengenali sesiapa. Kita semua mestilah menghormati proses undang-undang yang berjalan ini.
“Apatah lagi kita tidak boleh benarkan membuat sebarang komen apabila proses mahkamah sedang berjalan kerana doktrin subjudis. Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman menghina mahkamah sekiranya itu berlaku,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Dalam tempoh dua minggu ini, dua kes rasuah melibatkan pemimpin politik utama negara mendapat perhatian apabila pada 28 Julai lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disabitkan bersalah dalam kes SRC International dan kelmarin, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula didakwa atas pertuduhan meminta rasuah di Mahkamah Sesyen.
Kedua-dua kes menimbulkan pelbagai reaksi terhadap institusi kehakiman dan agensi penguat kuasa apabila pemimpin dan penyokong politik mula mempertikaikan keputusan dan pendakwaan terhadap pemimpin yang mereka sokong.
Mengulas lanjut, Rahmat berkata, mana-mana pihak yang didapati menghina mahkamah perlu dihukum dengan berat bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap mahkamah terus menular.
Beliau menegaskan, hukuman kepada penghina mahkamah adalah satu-satunya senjata yang sah di sisi undang-undang untuk mempertahankan mahkamah daripada persepsi negatif.
“Sekiranya senjata contempt of court ini tidak digunakan mahkamah, maka komen politik yang membawa persepsi negatif tentang kebebasan mahkamah akan terus berlaku.
“Oleh itu, hakim-hakim mahkamah harus bijaksana menggunakan hak mahkamah untuk menepis segala kesangsian tentang kesucian mahkamah,” katanya.










