KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal menjadi medan menguji kesepakatan kedua-dua blok politik sama ada Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, jika pada PRN Sabah membuktikan kedua-dua blok mampu mencapai kesepakatan, berkemungkinan pertembungan dua penjuru boleh berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU-15).
“Namun jika pertembungan dua penjuru, ia bukan hanya menguntungkan PN atau Muafakat Nasional (MN), tetapi juga Pakatan Harapan (PH) kerana negara kini, tidak ada parti yang betul-betul dominan di semua tempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhamad Nadzri berkata, di Malaysia tiada parti politik yang boleh merentas faktor geografi dan identiti (etnik) menyebabkan setiap parti politik mempunyai pengundi dalam kalangan satu-satu kelompok tertentu.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendapat peluang untuk MN menguasai PRU-15 adalah cerah dengan syarat pertembungan dalam pilihan raya tersebut adalah dua penjuru.
Sementara itu, pensyarah kanan pengajian politik di Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berpendapat, MN akan memperoleh kemenangan besar dalam pertembungan dua penjuru jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.
Kata beliau, ia berdasarkan sokongan padu pengundi Melayu dan Islam terhadap pakatan politik itu serta polisi-polisi kerajaan yang pada ketika ini banyak memihak kepada rakyat.
“Tapi kalau dilaksanakan pada 2023, belum tentu MN boleh menang kerana ketika itu mungkin kerajaan sukar nak laksanakan polisi yang memihak kepada rakyat seperti sekarang kerana kekangan kewangan.
“Kena ingat, pengundi ini kebanyakannya yang di atas pagar. Pengundi setia parti tak ramai mana. Sebab itu faktor polisi itu penting,” katanya. – UTUSAN










