Pelajar pintar tanggung derita sepanjang hayat - Utusan Malaysia

Pelajar pintar tanggung derita sepanjang hayat

Irfan Wafiy (tengah) cuba menggerakkan kakinya yang sering menggigil sambil diperhatikan oleh bapanya, Idham Wazir dan ibunya, Norlela Abu Hashim di rumah mereka di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir berkemungkinan besar terpaksa menanggung derita sepanjang hayat apabila kedua-dua kakinya gagal dikawal daripada terus menggigil ekoran menghidap penyakit Myokimia.

Myokimia menyebabkan seseorang itu mengalami gejala seperti pesakit Parkinson.

Irfan Wafiy, 13, yang sebelum ini aktif berlari dan berenang, disahkan pasukan perubatan terdedah kepada tindak balas pencemaran toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac tahun lalu.

Ibunya, Norlela Abu Hashim, 46, memaklumkan, keputusan itu diperoleh selepas anaknya itu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu.

“Doktor pakar yang merawat Irfan cakap kaki menggigil ini mungkin kekal sepanjang hayat.

“Sebagai ibu bapa, kami amat sedih sebab dia yang terpaksa menanggung derita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Bukit Dahlia di sini baru-baru ini.

Menurut potral MyHealth Kementerian Kesihatan, Myokimia merupakan penyakit pergerakan otot secara spontan dan tidak dapat dikawal, kekakuan dan kekejangan otot.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati kesihatan pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru itu masih belum pulih meskipun sudah setahun empat bulan bencana pencemaran udara melanda kawasan perindustrian Pasir Gudang, dekat sini.

Mengulas lanjut Norlela berkata, anak keempat daripada lima beradik itu kini bergantung kepada ubat baharu iaitu Gaba­pentin seperti disarankan oleh doktor pakar tempatan.

Jelasnya, ubat itu perlu diambil tiga kali sehari bagi me­ngurangkan rasa sakit neuropatik yang berkaitan dengan saraf dan pada kebiasaannya ubat tersebut digunakan untuk orang dewasa.

“Sebelum ini dia ambil dua ubat iaitu Epilin dan Cabamezapine tetapi ada kesan sampingan.

“Irfan pernah kena masuk wad selepas demam lima hari. Badan dia juga bengkak dan doktor cakap dia ada alergik pada ubat berkenaan,” kata­nya.

Menurut Norlela lagi, Irfan Wafiy tidak boleh terlalu aktif kerana apabila banyak bergerak atau menggunakan kekuatan, kakinya akan lebih menggigil selain mudah letih.

Di sekolah, Irfan Wafiy seorang pelajar pintar kerana memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2019 iaitu tahun yang sama insiden pencemaran tersebut berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×