Hayat Pejuang lenyap bila Tun M tiada – Rais Yatim - Utusan Malaysia

Hayat Pejuang lenyap bila Tun M tiada – Rais Yatim

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan kekal selagi hayat Tun Dr. Mahathir Mohamad masih ada, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana jelasnya, anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mampu untuk meneruskan legasi tersebut berikutan kegagalan pentadbirannya di Kedah.

“Tun Dr. Mahathir merupakan obor kepada Pejuang, saya tak nampak ia boleh berkembang apabila Tun tak ada, nauzubillah.

“Dan apabila Tun sudah tak ada nanti, parti itu akan lenyap, anaknya Mukhriz tidak akan dapat sambung obor ayahandanya apabila melihat kepemimpinannya di Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Rais, Pejuang juga tidak mampu menandingi parti yang ada sekarang ini memandangkan parti itu hanya ada kurang daripada 10 kerusi.

“Bersatu ada 179 bahagian, mereka tak sampai 10 pun. Jadi, parti Pejuang sangat terhad dan jika parti itu kurang bernasib baik, keghairahan parti itu akan mati setakat itu sahaja dan tidak lagi akan memunculkan diri,” jelasnya.

Katanya, Pejuang merupakan sebuah parti yang berbeza dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini semakin berkembang dan dite­rima rakyat secara positif.

“Barisan baharu Bersatu mempunyai kepemimpinan baharu, hanya tiga ke empat orang sahaja yang kekal, yang lain sudah diganti. Ini bermakna rak­yat mengharapkan sesuatu yang baharu dari segi khidmat dan ketrampilan daripada parti ini.

“Kita juga akan meluaskan tapak kepada ahli bersekutu untuk masyarakat Tionghua dan India, sekali gus masyarakat akan mendapat gambaran yang Bersatu bukan parti yang hanya penuh keislaman sahaja, kita punya potensi besar untuk mendidik masyarakat bukan Melayu bersama dengan kita,” katanya.

Begitu juga nasib sama de­ngan parti baharu yang ingin ditubuhkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman yang dikatakan berasaskan golongan anak muda.

Parti itu jelas Rais, akan sukar untuk diterima kerana rakyat sudah muak dan penat dengan setiap penubuhan parti baharu yang mempunyai kepentingan tersendiri.

“Saya berharap Tun Mahathir dan Syed Saddiq kembali kepada Bersatu untuk kukuhkan semula parti ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN