Moratorium masih pilihan terbaik - Utusan Malaysia

Moratorium masih pilihan terbaik

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lanjutan mo­ra­torium bayaran balik pinjaman yang berakhir September ini masih belum diputuskan ke­rajaan walaupun Putrajaya tidak menolak kemungkinan insentif kewangan itu mungkin dipanjangkan berikutan kesan pandemik Covid-19 kepada rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Da­tuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam berkata, kerajaan masih berbincang dengan bank-bank mengenai bantuan berbentuk bersasar berbanding pemberian moratorium meluas.

Peningkatan kadar pengangguran, penutupan perniagaan ser­ta penguncupan ekonomi ta­hun ini akan memberi kesan kepada jutaan rakyat negara ini. Pengenalan moratorium yang menangguhkan pembayaran ba­lik pinjaman kenderaan, rumah dan peribadi selama enam bulan memberi kelegaan sementara kepada berjuta-juta peminjam.

Pihak bank akan mengalami tekanan kewangan jika pe­nangguhan yang membabitkan pembayaran balik berjumlah RM100 billion dilanjutkan. Sya­rikat kewangan bergantung kepada faedah dan perkongsian keuntungan daripada pinjaman berjadual dan pembiayaan Islam untuk menampung operasi.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi berpendapat, lanjutan moratorium masih menjadi pilihan terbaik bagi membantu golongan sasaran.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewa­ngan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, lanjutan selama enam bulan atau sehingga suku pertama 2021 perlu, tetapi ia harus dilakukan secara bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Semalam, Utusan Malaysia me­laporkan, kerajaan digesa melanjutkan tempoh moratorium pembayaran hutang sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan lagi berikutan peningkatan kebimbangan jumlah pengangguran dijangka mencecah lebih 1.9 juta orang disebabkan pandemik Covid-19. 

Awal bulan ini, Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid menegaskan, bank pusat itu tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh enam bulan moratorium bagi menge­lakkan kesan kepada bank.

Beberapa bank antaranya, Bank Islam Malaysia Bhd., Bank Simpanan Nasional, Affin Bank Bhd., CIMB Bank Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. dan AmBank sedang mengkaji bantuan bersesuaian kepada pelanggan selepas tempoh moratorium.

Dalam hal ini, Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof berkata, nis­bah pinjaman tidak berbayar dijangka meningkat selepas moratorium ini ditamatkan.

Katanya, tempoh enam bulan moratorium pinjaman ketika ini dilihat mencukupi untuk menyusun dan menjadualkan semula pinjaman yang mungkin menghadapi masalah aliran di samping mengambil kira alir­an kewangan bank-bank.

Perdana Menteri, Tan Sri Muh­­yiddin Yassin berkata, se­takat ini pakej rangsangan eko­­­nomi yang diperkenalkan ter­masuk moratorium menye­lamatkan lebih 2.75 juta pekerjaan dan 800,000 perniagaan ter­masuk perniagaan mikro dan PKS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN