![]() |
- Pelan hala tuju ini menghubungkan pembangunan dan pelaksanaan aplikasi dengan setiap generasi perkakasan Quantinuum sehingga pelancaran Apollo, komputer kuantum universal toleran ralat yang dirancang untuk tahun 2029.
- Nexus direka untuk menjadi platform pembangun pertama yang menyepadukan pengekodan pembetulan ralat automatik, pelaksanaan pada perkakasan Quantinuum dan penyelarasan aliran kerja hibrid.
- Nexus akan mengendalikan kerumitan pembangunan aplikasi toleran ralat secara berperingkat serta melaksanakan program yang boleh diskalakan dan dipertingkatkan keupayaannya seiring dengan kemajuan perkakasan.
BROOMFIELD, Colo., 6 November 2026 /PRNewswire/ — Quantinuum (NASDAQ: QNT), syarikat peneraju pengkomputeran kuantum bersepadu sepenuhnya (full-stack), hari ini memperkenalkan pelan hala tuju baharu untuk mempertingkatkan Quantinuum Nexus, platform sebagai perkhidmatan miliknya, dengan matlamat menyediakan platform pembangun pertama dalam industri kuantum yang direka khusus untuk era pengkomputeran toleran ralat. Pelan hala tuju ini memperkenalkan keupayaan baharu bagi setiap generasi perkakasan sehingga Apollo, komputer kuantum universal pertama syarikat yang toleran ralat sepenuhnya, yang dirancang untuk 2029. Keupayaan tersebut akan terus memudahkan dan mengautomasikan cara pelanggan membangunkan, melaksanakan serta mengendalikan aplikasi kuantum.
Sejak dilancarkan pada tahun 2024, Nexus telah berkembang daripada platform pengurusan aliran kerja kuantum berasaskan awan kepada penyelesaian pembangunan dan pelaksanaan aplikasi secara menyeluruh, yang menggabungkan pengaturcaraan, pengesahan, pengkompilasian dan pelaksanaan dalam satu persekitaran. Nexus menyediakan akses terurus kepada alat perisian dan sumber pengkomputeran yang diperlukan pelanggan untuk membangunkan aplikasi serta mengendalikan aliran kerja hibrid. Nexus menawarkan pilihan akses dan penyepaduan yang fleksibel, sama ada melalui awan mahupun di premis.
Menjelang tahun 2029, setiap keluaran baharu disasarkan untuk mengautomasikan dan memudahkan proses pembetulan ralat, pengurusan sumber, penyelarasan serta pelaksanaan secara berperingkat, sekali gus membolehkan pembangun membangunkan dan menyepadukan aplikasi dengan keupayaan yang semakin canggih pada peringkat logik.
Dengan membangunkan perkakasan dan perisian kuantum secara bersepadu, Quantinuum membantu meningkatkan prestasi aplikasi merentasi keseluruhan sistem serta menterjemahkan kemajuan perkakasan kepada keupayaan yang boleh dimanfaatkan oleh pelanggan. Nexus direka untuk menyelaraskan keupayaan tersebut dengan setiap generasi perkakasan, sekali gus menyediakan laluan pembangunan yang lebih mudah kepada pelanggan serta platform yang lebih kukuh untuk Quantinuum menarik pengguna baharu dan memperluas penggunaan dalam kalangan pengguna sedia ada. Pembangun kini sudah boleh menggunakan teknik pembetulan ralat yang disokong secara automatik pada program dan menjalankannya menggunakan Helios.
Pada masa ini, Nexus menyokong lebih 200 organisasi, meningkat 45% pada 2026, manakala jumlah penyerahan tugasan pengkomputeran meningkat sepuluh kali ganda dalam tempoh 12 bulan berakhir Ogos 2026 berbanding tempoh 12 bulan sebelumnya. eningkatan penglibatan ini membentuk asas pelanggan dan pembangun yang boleh terus diperluas oleh Quantinuum seiring dengan kematangan perkakasannya.
"Pendekatan bersepadu sepenuhnya kami bermakna setiap kemajuan dalam perkakasan boleh diterjemahkan kepada keupayaan yang boleh dimanfaatkan oleh pelanggan untuk membangunkan penyelesaian melalui Nexus," kata Dr. Rajeeb Hazra, Ketua Pegawai Eksekutif Quantinuum. "Matlamat kami adalah untuk membangunkan platform pembangun pertama yang direka khusus bagi era pengkomputeran toleran ralat, supaya pelanggan boleh mula membangunkan aplikasi hari ini dan terus memanfaatkan pelaburan tersebut pada masa hadapan. Nexus direka untuk membantu mereka melaksanakan aplikasi dan aliran kerja hibrid serta menyepadukan platform ini ke dalam persekitaran pengkomputeran mereka. Seiring dengan peningkatan keupayaan sistem kami, matlamat kami adalah untuk memastikan aplikasi, aliran kerja dan kepakaran yang dibangunkan oleh pelanggan melalui Nexus menjadi semakin bernilai. Ini akan memberikan sebab yang kukuh kepada mereka untuk terus membangunkan penyelesaian bersama Quantinuum, sekali gus menjadikan Nexus komponen yang berkekalan dalam persekitaran pengkomputeran mereka."
Membangunkan Platform Pembangun untuk Era Pengkomputeran Toleran Ralat
Pelan hala tuju Nexus menyusun keupayaannya berdasarkan tiga peringkat kitaran hayat aplikasi, iaitu pembangunan, pengoptimuman dan pelaksanaan, bagi membantu pelanggan membangunkan aplikasi kuantum-klasik hibrid yang boleh berkembang seiring dengan generasi perkakasan Quantinuum yang seterusnya:
- Pembangunan: Pelan hala tuju ini merangkumi komponen asas siap bina (primitives), pustaka toleran ralat dan alat khusus bidang yang membantu pembangun beralih daripada litar kuantum individu kepada aplikasi yang lengkap. Platform ini akan mengautomasikan pengekodan pembetulan ralat, pengkompilasian dan pengurusan sumber secara berperingkat, membolehkan pembangun memberikan lebih tumpuan kepada aplikasi dan mengurangkan keperluan untuk menangani kerumitan perkakasan asas.
- Pengoptimuman: Pelan hala tuju ini menggariskan alat untuk menganalisis tingkah laku masa jalan, keperluan sumber dan prestasi aplikasi. Keluaran akan datang dirancang untuk memperkenalkan lebih banyak keupayaan penindasan ralat, diagnostik masa nyata dan pemulihan ralat yang semakin automatik bagi membantu pelanggan menjalankan pengiraan berskala lebih besar serta menggunakan sumber kuantum dengan lebih cekap.
- Pelaksanaan: Nexus sedang direka untuk menyelaraskan pengkomputeran kuantum dan klasik merentasi pemproses Quantinuum, sistem pengkomputeran berprestasi tinggi, infrastruktur awan dan alat pihak ketiga. Ini akan membantu pelanggan menyepadukan aliran kerja kuantum ke dalam persekitaran pengkomputeran sedia ada serta melaksanakan aplikasi toleran ralat berskala lebih besar.
"Komputer kuantum kini semakin hampir mencapai keupayaan toleransi ralat pada skala besar. Ini merupakan perkembangan yang mengujakan: kita sedang memasuki wilayah yang belum diterokai (terra incognita) dari segi keupayaan pengkomputeran. Cabaran baharu kini adalah untuk menyesuaikan algoritma kuantum peringkat tinggi kami kepada format yang sesuai supaya dapat dijalankan dengan jayanya pada perkakasan yang dilengkapi pembetulan ralat. Platform pembangun seperti Nexus membantu kami merapatkan jurang antara reka bentuk algoritma kuantum dengan pelaksanaannya," kata José Ignacio Latorre, Pengarah Centre for Quantum Technologies, pusat penyelidikan kebangsaan utama Singapura bagi teknologi kuantum.
Dioptimumkan khusus untuk sistem Quantinuum, keupayaan ini dijangka menyediakan laluan pembangunan berterusan daripada pembangunan aplikasi peringkat awal menggunakan Helios kepada pelaksanaan dengan keupayaan yang semakin canggih menggunakan Sol dan Apollo, sekali gus membantu pelanggan terus memanfaatkan pelaburan mereka seiring dengan kemajuan perkakasan.
Membina Asas Hari Ini
Quantinuum telah pun menyediakan komponen utama pendekatan ini. Dilancarkan pada September 2026, Guppy FT dan Guppy Algorithms memperluas keupayaan Nexus dengan memperkenalkan kaedah pembetulan ralat yang disokong, operasi toleran ralat serta komponen asas algoritma yang boleh digabungkan.
Pembangun boleh menulis program, mengekodkannya secara automatik mengikut kaedah pembetulan ralat yang disokong, mengujinya melalui emulasi serta menjalankan program yang disokong menggunakan Helios. Pengguna lanjutan masih mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan seni bina bagi aplikasi khusus.
Keupayaan ini menjadi asas kepada keluaran akan datang dalam pelan hala tuju tersebut, termasuk keluaran yang dijadualkan pada Disember, yang dijangka memperluas keupayaan aliran kerja hibrid supaya aplikasi dapat bertindak balas terhadap hasil pengkomputeran kuantum sebaik sahaja hasil tersebut tersedia. Keluaran tersebut juga dijangka menambah kod pembetulan ralat yang disokong serta analisis pelaksanaan bagi membantu pembangun mengoptimumkan prestasi.
Menghubungkan Aplikasi Kuantum dengan Pengkomputeran Perusahaan
Penyelidik dan perusahaan sudah menggunakan Nexus untuk membangunkan aplikasi dalam bidang kimia, sains bahan, sains hayat dan AI, di samping menyepadukan Nexus ke dalam persekitaran baharu:
- Qubit Pharmaceuticals dan CQT menggunakan Nexus untuk menjalankan eksperimen Monte Carlo kuantum pada sistem System Model H2 dan Helios milik Quantinuum.
- Penyelidik di RIKEN dan University of Tokyo menggunakan Nexus untuk mensimulasikan nukleus atom pada Reimei. Mereka turut menggunakan Nexus untuk menyepadukan aliran kerja kuantum-HPC hibrid bagi mengira tenaga keadaan teruja dalam sistem biomolekul model.
- Penyelidik University of Cambridge menggunakan alat pengkompilasian Nexus untuk menyediakan litar kimia kuantum yang cekap, manakala penyelidik Maastricht University menggunakan Nexus untuk mensimulasikan, mengkompilasikan dan menjalankan algoritma penjejakan zarah kuantum bagi meneroka pendekatan baharu untuk membina semula trajektori zarah.
- Metriq gym milik Unitary Foundation menggunakan Nexus untuk mengakses perkakasan Quantinuum bagi menjalankan penandaarasan yang boleh dihasilkan semula merentasi platform pengkomputeran kuantum.
- Quantinuum sedang menyepadukan Nexus ke dalam persekitaran Oracle Cloud Infrastructure bagi membantu menyokong pelaksanaan komputer Helios milik Quantinuum di premis serta penyepaduannya ke dalam penawaran perkhidmatan awan OCI.
Terokai pelan hala tuju Nexus yang lengkap di sini. Klik di sini untuk mendaftar bagi mendapatkan akses kepada platform awan Nexus.
Maklumat Tentang Quantinuum
Quantinuum ialah syarikat pengkomputeran kuantum terkemuka yang menawarkan platform tindanan penuh yang direka bentuk untuk membolehkan pengkomputeran kuantum ditempatkan dalam persekitaran dunia sebenar. Syarikat berkenaan telah menempatkan pelbagai generasi sistem kuantum berasaskan ion terperangkap secara komersial yang dibina berdasarkan seni bina QCCD terbaik, yang telah dilaksanakan dengan reka bentuk dan keupayaan baharu untuk mencapai tahap ketepatan tertinggi industri berdasarkan fideliti get dua kubit secara purata. Quantinuum mempunyai keterlibatan aktif dengan pemimpin pasaran merentasi farmaseutikal, sains bahan, perkhidmatan kewangan, kerajaan dan pasaran perindustrian, serta institusi akademik dan penyelidikan di seluruh dunia. Syarikat ini mempunyai tenaga kerja global kira-kira 800 pekerja, termasuk saintis dan penyelidik terkemuka. Lebih 70% pasukan teknologi syarikat ini memiliki PhD atau Ijazah Sarjana. Ibu pejabat Quantinuum terletak di Broomfield, Colorado, dengan kemudahan tambahan merentasi Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Jepun, Qatar dan Singapura. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.quantinuum.com.
Kenyataan Berpandangan ke Hadapan
Siaran akhbar ini mengandungi kenyataan berpandangan ke hadapan sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 27A Akta Sekuriti 1933, sebagaimana dipinda, dan Seksyen 21E Akta Bursa Sekuriti 1934, sebagaimana dipinda, yang bertujuan untuk dilindungi oleh peruntukan safe harbor dalam Private Securities Litigation Reform Act of 1995 (Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Swasta 1995) Semua kenyataan selain kenyataan mengenai fakta sejarah merupakan kenyataan berpandangan ke hadapan, termasuk kenyataan mengenai pelan hala tuju Quantinuum Nexus serta ciri, keupayaan, manfaat dan jangka masa yang dijangkakan bagi keluaran Nexus pada masa hadapan. Ini termasuk pembangunan, keupayaan dan jangka masa yang dijangkakan bagi perkakasan Quantinuum, termasuk Sol dan Apollo, serta perancangan untuk menyediakan Apollo pada 2029; penerimaan dan penggunaan Nexus yang dijangkakan dalam kalangan pelanggan dan pembangun serta keupayaan Quantinuum untuk memperluas penggunaan tersebut bagi tujuan komersial yang lebih meluas; penyepaduan Nexus dengan Oracle Cloud Infrastructure dan persekitaran pengkomputeran pihak ketiga yang lain; serta potensi pengkomputeran kuantum toleran ralat. Perkataan seperti "bertujuan", "menjangkakan", "percaya", "boleh", "mengharapkan", "meneroka", "berhasrat", "mungkin", "merancang", "berpotensi", "berusaha", "akan" dan ungkapan serupa digunakan untuk mengenal pasti kenyataan berpandangan ke hadapan, walaupun tidak semua kenyataan berpandangan ke hadapan mengandungi perkataan tersebut.
Kenyataan berpandangan ke hadapan adalah berdasarkan jangkaan dan andaian semasa Quantinuum serta tertakluk pada risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara ketara daripada yang dinyatakan atau tersirat. Risiko tersebut termasuk, antara lain: kelewatan atau kesukaran dalam membangunkan, menguji atau melancarkan keupayaan baharu Nexus atau perkakasan Quantinuum, termasuk Sol dan Apollo, mengikut jadual yang dijangkakan atau kemungkinan pembangunan dan pelancaran tersebut tidak dapat dilaksanakan sama sekali; kemungkinan teknik pembetulan ralat tidak berfungsi seperti yang dijangkakan pada skala besar; kadar kemajuan teknikal dalam pengkomputeran kuantum; keupayaan Quantinuum untuk mengekalkan ketersediaan dan prestasi sistemnya, termasuk Helios; tahap penerimaan dan penggunaan berterusan Nexus dalam kalangan pelanggan dan pembangun; kebergantungan Quantinuum pada pihak ketiga, termasuk penyedia perkhidmatan awan dan pengkomputeran berprestasi tinggi; persaingan; ketersediaan pembiayaan, tenaga kerja dan sokongan kerajaan; serta risiko lain yang dihuraikan di bawah bahagian "Faktor Risiko" dalam Laporan Suku Tahunan Quantinuum melalui Borang 10-Q bagi suku berakhir 30 Jun 2026 dan pemfailan berikutnya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat. Kenyataan berpandangan ke hadapan hanya terpakai setakat tarikh siaran akhbar ini. Quantinuum tidak mempunyai kewajipan untuk mengemas kini sebarang kenyataan berpandangan ke hadapan, kecuali sebagaimana dikehendaki oleh undang-undang.
Sumber artikel: https://www.prnasia.com/asia-story/archive/5089687_MS89687_6












