PERKESO, Media Mulia kongsi rezeki edar 1,000 pek bubur lambuk – Ramanan

PERKESO, Media Mulia kongsi rezeki edar 1,000 pek bubur lambuk – Ramanan

TENGKU Khalidah Tengku Bidin (kanan) bersama ahli kariah Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Sungai Buloh bergotong-royong memasak bubur lambuk sempena Program Kongsi Berkat anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Media Mulia Sdn. Bhd., kelmarin. – UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada penduduk sekitar Sungai Buloh menerusi Program Kongsi Berkat bagi menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan.

Program yang berlangsung di Masjid Al Huda, Paya Jaras itu diharapkan dapat menyuntik semangat kebersamaan serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, PERKESO sentiasa komited melaksanakan program-program yang berbentuk kemasyarakatan seperti menyantuni
golongan yang memerlukan.

“Apabila Media Mulia mengajak PERKESO bekerjasama menjayakan program kongsi rezeki pada minggu terakhir Ramadan tahun ini, kami memberi komitmen sepenuhnya kerana kami dan rakan media mempunyai hubungan yang sangat kukuh dan baik selama ini.

“Oleh itu, kami sama-sama menyantuni insan dengan membuat agihan rezeki ini.

“Diharapkan program seperti ini akan memperkukuhkan lagi hubungan PERKESO dengan media dan usaha kami dalam memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia tentang adanya perlindungan sosial dalam masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Tengku Khalidah, pemilihan bubur lambuk sebagai hidangan agihan juga amat sinonim dengan Ramadan kerana ia sudah menjadi tradisi masyarakat setiap kali berbuka puasa.

“Bubur lambuk dan Ramadan memang tidak boleh dipisahkan. Ia seolah-olah menjadi satu kemestian untuk meraikan kehadiran bulan yang mulia ini selain menggalakkan kita bersedekah dan berkongsi rezeki,” katanya.

Katanya, program itu juga merupakan kesinambungan kepada inisiatif kebajikan PERKESO termasuk pelaksanaan Bakul Makanan Ziarah MADANI sempena Aidilfitri.

“Program Bakul Makanan Ziarah MADANI telah dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dua hari lalu.

“Melalui inisiatif itu, hampir 20,000 bakul makanan akan diagihkan ke seluruh negara kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

KAKITANGAN Media Mulia Sdn. Bhd. mengagihkan bubur lambuk di hadapan Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Sungai Buloh, kelmarin. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI

Dalam pada itu, Pengarang Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Ismail Daud berkata, Media Mulia merakamkan penghargaan kepada PERKESO dan KESUMA atas kerjasama berkongsi rezeki dan keberkatan melalui program tersebut.

“Kerjasama seperti ini dapat membantu PERKESO dalam memperkenalkan produknya, manakala Media Mulia  pulaberpeluang memperkenalkan produknya kepada penduduk sekitar.

“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar agar semua masyarakat dapat berkongsi keberkatan ini,” katanya.

 

IKRAMI MAZLI
IKRAMI MAZLI

Sementara itu, Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buluh, Ikram Mazli berkata, R. Ramanan berterima kasih kepada Media Mulia kerana melengkapkan angka 10,000 agihan bubur lambuk di kawasan itu.

“Siri ini juga telah memasuki tahun yang keempat dan program sebegini sememangnya antara inisiatif berterusan daripada kami. Sememangnya setiap Ramadan, kami akan membuat agihan rezeki kepada masyarakat setempat,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi, beliau berkata, Masjid Al Huda, Paya Jaras merupakan antara masjid tertua di kawasan itu dan sudah sinonim dengan masyarakat setempat.

Sementara itu, Ketua tukang masak, Othman Abd Kadir, 57, berkata, resipi bubur lambuk yang disediakan pada Program Kongsi Berkat itu adalah resipi turun temurun keluarga yang sudah menjadi kegemaran penduduk sekitar.

Katanya, pihak masjid memintanya untuk menjadi ketua dalam penyediaan bubur lambuk itu kerana bahan-bahan digunakan adalah lain daripada lain dengan mengunakan udang kering sebagai “senjata” utama.

“Sebanyak tiga periuk besar digunakan yang mampu menampung kira-kira 10 kilogram beras selain pelbagai bahan lain bagi menambah rasa dan aroma.

“Antara bahan utama yang digunakan termasuk halia, serbuk lada hitam, bawang serta helba yang ditumis terlebih dahulu bagi menaikkan bau dan rasa bubur lambuk,” katanya.

Tambahnya, antara cabaran utama menyediakan bubur Lambuk dalam kuantiti besar adalah memastikan persediaan peralatan dan tenaga kerja mencukupi.

“Selain dapur gas dan periuk besar, kita juga perlukan tenaga keria untuk menyediakan bahan seperti memotong bawang dan menguruskan proses memasak.

“Namun semua keletihan itu berbaloi kerana kita dapat menyumbang tenaga dalam program kebajikan seperti ini, apatah lagi pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN