Pemerkasaan wanita, mengangkat kehidupan rakyat

Pemerkasaan wanita, mengangkat kehidupan rakyat

Rusilawati Borhan atau Kak Chomel berani melangkah keluar dari zon selesa dan mencipta peluang baharu dengan menyertai BazRam Merdeka di Stadium Merdeka. Semangat juangnya jadi inspirasi kepada wanita lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PNB sokong usahawan wanita gerakkan ekonomi rakyat

Selama 25 tahun, Sharifah Rodiah Basri atau lebih mesra de­ngan panggilan Kak Pah, menjadi sebahagian daripada nadi komuniti Perumahan Awam Sri Sarawak di Jalan Hang Tuah.

Isteri kepada seorang bekas anggota tentera dan Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Sarawak itu sentiasa berusaha memenuhi pelbagai keperluan komuniti termasuk membantu kaum wanita yang tidak bekerja di situ menambah sumber pendapatan keluarga.

Kerana minatnya suka berniaga, Kak Pah yang turut mengusahakan perniagaan katering kini mengambil tempahan kraf bunga telur sejak tiga tahun lalu membuka peluang rezeki kepada wanita di sini menjana pendapatan.

“Apabila tempahan bunga telur banyak, terutama untuk majlis perkahwinan dan kendu­ri, saya akan mengajak wanita-wanita di pangsapuri ini untuk sama-sama menyiapkan tempahan.

“Mereka ini adalah ibu tunggal, warga emas dan mereka yang memerlukan sumber pendapatan tambahan. Wanita perlu menyokong wanita agar kita sama-sama dapat menggerakkan ekonomi keluarga,” tambah beliau.

Selain menerima upah membuat bunga telur, menurutnya, mereka juga mempelajari kemahiran baharu dan menjadi lebih inovatif agar boleh mengusahakan perniagaan sendiri pada masa depan.

Kak Pah juga berharap seni kraf bunga telur ini terus ‘hidup’ dan dipelihara sebagai warisan tradisional Melayu dan tidak hilang ditelan zaman.

Seperti Kak Pah, Kak Chomel atau Rusilawati Borhan, juga salah seorang penghuni di Sri Sarawak sejak 25 tahun lalu.

Kak Chomel ialah salah seorang daripada 22 peserta wa­nita dalam Program Pemba­ngunan Keusahawanan anjuran PNB, khusus untuk komuniti wanita di Perumahan Awam Sri Sarawak, Presint Merdeka 118. Peserta menerima bim­bingan dan latihan mengenai penjenamaan, pengurusan kewangan, pemasaran digital, pence­ritaan jenama, dan pengendalian makanan.

Program ini bertujuan memperkasa wanita dengan kemahiran relevan dan meningkatkan kualiti produk agar mereka mampu menambah pendapatan keluarga serta menyumbang kepada ekonomi rakyat.

Walaupun semangat perjuangan untuk kaum hawa beliau tinggi, Kak Chomel terpaksa berdikari untuk menjana pendapatan keluarga sejak 14 tahun lalu selepas suaminya terlibat dalam kemalangan dan tidak mampu bekerja.

“Saya mula berniaga nasi lemak kira-kira 14 tahun lalu. Saya mohon sebuah gerai atas nama suami saya yang kurang upaya dan menjadi vendor.

“Saya mencari pembekal makanan dan saya galakkan wanita di Sri Sarawak untuk menghantar masakan mereka seperti kuih muih, lauk-pauk serta kudap-kudapan untuk saya jualkan,

Setakat ini saya mempu­nyai 18 orang pembekal wanita,” ujarnya.

Tambah Kak Chomel, wanita yang beliau bantu adalah daripada golongan ibu tunggal, asnaf, warga emas dan juga wanita yang berdepan kesusahan dan memerlukan wang.

Menurut beliau, sebagai tunjang keluarga, wanita meme­gang peranan besar dan harus berani melangkah keluar daripada zon kesusahan dengan menjadikan keberanian sebagai kekuatan untuk mengubah kehidupan demi keselesaan keluarga.

“Kita mahu melihat kaum wanita terus maju, tanpa me­ngira usia atau tahap pendidikan. Selagi ada tekad untuk keluar daripada kekangan kehidupan, wanita mampu menjadi peniaga yang berdedikasi.

“Yang penting adalah kerajinan, keikhlasan, dan kejujuran dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya.

Aishwareena Abdul Razak, 24, peserta termuda Program

Sementara itu, seorang peserta muda berusia 24 tahun, Nur Aishwareena Abdul Razak berkata, program pembangunan keusahawanan PNB ini memberikan beliau harapan bahawa produk sambal atau ‘chili oil’ yang dihasilkan bersama ibunya membuka peluang pemasaran yang lebih baik.

Graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari UiTM Puncak Alam itu berkata, program bimbingan keusahawanan ini memberi peluang kepada peniaga kecil seperti beliau untuk terus mempraktikkan ilmu yang dipelajari daripada sesi tersebut dalam perniagaannya.

“Sebelum ini saya hanya belajar teori di universiti. Segala ilmu yang dahulu hanya ‘tahu secara dasar’ kini saya amalkan terus dalam perniagaan terma­suk cara mengurus kewangan, mengira kos dengan tepat, dan mematuhi pempiawaian penyediaan makanan yang betul serta cara memasarkan produk,” katanya.

Katanya, beliau melihat terdapat perubahan yang positif dan konsisten dalam perniagaan beliau.

“Setiap bulan, alhamdulillah, ada pendapatan tetap hasil daripada pengurusan akaun yang le­bih kemas, pemasaran yang lebih teratur, dan proses pengeluaran yang lebih sistematik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN