28 game changer memacu perubahan pembangunan desa

28 game changer memacu perubahan pembangunan desa

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan 28 inisiatif strategik yang menjadi pemacu perubahan bagi tahun ini untuk membangunkan kawasan luar bandar secara lebih sistematik, inklusif dan memberi kesan tinggi kepada kesejahteraan masyarakat desa.

Inisiatif itu dirumuskan menerusi Permukiman KKDW dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 yang berlangsung tiga hari di Terengganu bermula 8 Februari lalu dengan memberi tumpuan terhadap tujuh kluster utama pembangunan desa.

Ia mencerminkan komitmen berterusan kementerian untuk beralih daripada pendekatan berasaskan kuantiti program kepada pembangunan desa yang berfokuskan impak bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus diperkasa secara holistik dan mampan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permukiman itu berperanan sebagai platform strategik bagi merangka dasar, menilai prestasi dan memperkukuh peranan agensi serta syarikat milikan kementerian.

“Sebanyak 28 inisiatif pemacu perubahan digariskan di bawah tujuh kluster strategik merangkumi Ekonomi Desa, Modal Insan, Jaringan Prasarana, Usahawan Desa, Sistem Penyampaian Perkhidmatan, Kesiapsiagaan Desa dan Pengantarabangsaan.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap intervensi dilaksanakan secara lebih fokus, berskala dan memberi impak langsung kepada rakyat luar bandar,” katanya semasa penggulungan permukiman tersebut.

Ahmad Zahid berkata, permukiman KKDW 2026 turut menetapkan lima disiplin baharu pembangunan desa sebagai asas transformasi kementerian, iaitu pendekatan homogen berasaskan kluster dan pengukuhan Master Brand ‘DESA’ sebagai identiti nasional pembangunan luar bandar.

Selain itu pemerkasaan komunikasi berimpak dan berfakta, pengurusan data bersepadu yang tepat dan bersih serta pengukuran kejayaan berasaskan outcome dan impak sebenar kepada kesejahteraan rakyat.

Dalam sesi permukiman syarikat milikan agensi KKDW pula, tiga hala tuju strategik utama digariskan bagi memperkukuh peranan syarikat sebagai pemacu ekonomi kementerian.

Beliau berkata, ia merangkumi pemerkasaan sektor pendidikan melalui peluasan akses dan penggunaan teknologi termasuk kaedah Open Distance Learning (ODL), transformasi sektor perladangan melalui mekanisasi dan automasi bagi meningkatkan hasil tanaman serta pengukuhan tadbir urus dan integriti melalui pematuhan undang-undang, kawalan dalaman dan pengurusan yang telus serta berakauntabiliti.

Secara keseluruhan, permukiman itu melibatkan seramai 300 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi KKDW, ketua-ketua jabatan dan agensi serta 62 wakil anak syarikat milikan agensi kementerian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN