erak sasar kutipan hasil RM1.48 bilion tahun ini

Perak sasar kutipan hasil RM1.48 bilion tahun ini

SAARANI Mohamad (tengah) bersama barisan Exco dan kepimpinan kerajaan negeri pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Perak di Casuarina@Meru di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak menyasarkan kutipan hasil negeri itu berjumlah RM1.48 bilion pada tahun ini selari keperluan yang semakin meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keperluan masa depan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa menuntut penyediaan peruntukan yang besar.

Saarani Mohamad

Katanya, sasaran tersebut bukan hanya angka yang ingin dicapai, sebaliknya menjadi penanda aras kecekapan, akauntabiliti dan kesungguhan pentadbiran kerajaan negeri.

“Itu hasrat kutipan hasil yang disasarkan dan saya mahu semua pihak bergerak seiring ke arah tujuan serta sasaran yang sama.

“Setelah berbincang dan mendengar taklimat daripada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, saya berpuas hati dan yakin sasaran tersebut mampu dicapai,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Perak di sini semalam.

Menurut Saarani, untuk mencapai sasaran hasil yang ditetapkan, ia menuntut komitmen dan kerja keras semua pihak khususnya dalam memaksimumkan potensi hasil sedia ada.

Katanya, antara langkah yang perlu diberi perhatian adalah memastikan tiada tunggakan cukai berulang selain memperkemaskan proses pentadbiran yang berupaya menyumbang kepada penambahan dana negeri.

“Jika ada permohonan tanah kerajaan, prosesnya perlu dipercepatkan bermula dari pejabat daerah seterusnya ke PTG sehingga ke mesyuarat Exco. Apabila kelulusan dibuat, maka ada ruang untuk kutipan bayaran premium tanah dan hasil cukai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi menjamin kelangsungan hasil, kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung kepada sumber sedia ada, sebaliknya meneroka sumber dan hasil baharu yang mampan dan berterusan.

Menurut beliau, bagi tujuan itu, kerajaan negeri perlu memanfaatkan kerangka perundangan dan dasar yang telah diwujudkan termasuk penguatkuasaan Enakmen Sumber Air Perak 2023 bagi memperkemas pelesenan dan kutipan hasil berkaitan sumber air secara lebih tersusun dan adil.

“Pada masa yang sama, pendekatan pemajuan tanah secara lebih kompetitif dan telus seperti pelupusan tanah melalui tender perlu diteliti bagi memastikan negeri memperoleh pulangan yang setimpal dengan nilai pasaran semasa.

“Begitu juga keperluan untuk kita memperhalusi sektor-sektor berpotensi tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, khususnya pembangunan aktiviti solar berskala besar dan penerokaan potensi ekonomi baharu termasuk ekonomi biru, ekonomi hijau dan ekonomi jingga.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan menjana hasil tambahan tetapi memastikan pembangunan negeri bergerak selari dengan prinsip kemampanan, daya saing dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN