Pelan, strategi Kementerian Pertahanan 2026 perkasa ATM seluruh aspek

Pelan, strategi Kementerian Pertahanan 2026 perkasa ATM seluruh aspek

MOHAMED Khaled Nordin (kiri) bersalaman dengan warga kerja Kementerian Pertahanan yang hadir dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha memperkasa Kementerian Pertahanan dalam semua aspek untuk tahun ini terus dipergiat menerusi pelan hala tuju dan fokus yang ditetapkan.

Buktinya dapat dilihat dalam amanat dan perutusan Tahun Baru 2026 Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rangka kerja menyeluruh, yang mengambil kira isu berbangkit sebelum ini.

Justeru Mohamed Khaled menegaskan, beberapa perkara akan diberi perhatian.

Mohamed Khaled Nordin

Ini termasuk fokus pertama pengukuhan segala aspek Kementerian Pertahanan dengan memastikan kesinambungan segala pencapaian dan usaha yang diperkenalkan semasa kepengerusian ASEAN tahun lalu dapat diteruskan.

“Kita telah menerima pakai lebih 20 inisiatif strategik di bawah kerangka ASEAN semasa ADMM dan ADMM-Plus yang lepas, termasuklah di bawah ASEAN Defence Industry Collaboration; ASEAN Cyber Defence Network; Critical Underwater Infrastructure Security; The Kuala Lumpur Joint Declaration dan beberapa eksesais maritim serta banyak lagi.

“Kita turut telah mempelopori kekuatan convening power Malaysia, iaitu keupayaan membawa pelbagai pihak berkepentingan ke meja rundingan dan dialog untuk mencari penyelesaian secara aman. Maka, hasrat kita adalah untuk meneruskan komitmen Malaysia yang konstruktif terhadap membentuk ASEAN yang kukuh, bersatu dan berdaya tahan untuk tahun-tahun mendatang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di Wisma Perwira di sini semalam.

Bagi fokus kedua, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan menumpukan perhatian kepada pengurusan ancaman di Laut China Selatan.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh sama sekali leka kerana Laut China Selatan ini masih sarat dengan ketidaktentuan dan potensi konflik, terutama melalui penggunaan grey zone tactics yang mengancam kedaulatan negara.

“Justeru, Malaysia akan terus mengurus hubungan diplomatik secara bijaksana dan berwaspada, termasuk dengan China, bagi mempertahankan kepentingan maritim tanah air,” katanya.

Selain itu kata Mohamed Khaled lagi, kementerian akan memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri pertahanan negara bagi memastikan Malaysia memiliki keupayaan pertahanan tempatan serta kedaulatan teknologi pertahanan yang berdaya tahan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dalam fokus ketiga kementerian itu untuk tahun 2026.

Katanya, pembangunan ini akan melibatkan pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), satu dokumen yang melakar hala tuju yang jelas untuk membina industri pertahanan yang kukuh,” ujarnya.

SEBAHAGIAN warga Tentera Darat yang hadir tekun mendengar amanat disampaikan Mohamed Khaled Nordin.

Malah ujarnya, kementerian akan terus memodenkan dan memperkasa kesiagaan aset pertahanan negara dalam fokus keempat, selaras dengan aspirasi pembangunan Angkatan Masa

Hadapan dalam peruntukan RM21.74 bilion menerusi Belanjawan 2026, satu peningkatan sebanyak 2.92 peratus berbanding tahun 2025.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6 bilion telah diperuntukkan khusus untuk tujuan perolehan aset dan kelengkapan ATM.

“ Dan pada tahun ini juga, kita akan mula melaksanakan perolehan aset-aset strategik baharu. Antaranya adalah perolehan sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD); sistem Short Range Air Defence (SHORAD); Multi Role Support Ship (MRSS) dan Medium Range Air Defence (MERAD),” jelasnya.

Mohamed Khaled dalam masa yang sama berkata, kementerian akan memartabatkan pertahanan menyeluruh dengan mengambil kira aspek pertahanan negara kini merupakan tanggungjawab seluruh lapisan masyarakat dan bukan ATM semata-mata.

Justeru katanya, di bawah fokus kelima ini, Kementerian Pertahanan akan mengarusperdanakan pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS) dalam pertahanan negara, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Bukan setakat itu sahaja, kesejahteraan anggota sebagai teras kekuatan pertahanan negara juga akan sentiasa menitikberatkan dan tidak sama sekali dilupakan di bawah fokus keenam.

“Beberapa projek akan dilaksanakan antaranya termasuklah dengan peruntukan sebanyak RM426.4 juta bagi senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan blok penginapan bagi tahun 2026.

“Serta tambahan RM50 juta bagi projek senggaraan RKAT dan blok penginapan di sekitar KEMENTAH,” ujarnya.

Bagi fokus ketujuh pula, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan terus memperkasa kesejahteraan veteran ATM sebagai penghargaan jasa dan pengorbanan sepanjang perkhidmatan mereka.

“Sebanyak RM303.3 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM). Ini adalah satu peningkatan yang konsisten sejak tahun 2022.

“Dan RM274.4 juta atau 90 peratus daripada keseluruhan peruntukan tersebut akan disalurkan khusus secara langsung untuk manfaat komuniti veteran ATM,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi fokus kelapan, Mohamed Khaled berkata, beberapa pelan baharu dirangka untuk meningkatkan keunggulan Kementerian Pertahanan.

“Pertama, sebagai kesinambungan kepada Pelan Strategik MINDEF 2021- 2025, kita akan melancarkan pelan strategik Kementerian bagi tahun 2026-2030, yang telah dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030.

“Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP), sebagai instrumen utama pembangunan kapasiti sumber manusia pertahanan, yang juga berperanan sebagai penghubung strategik antara dasar dan pelaksanaan di lapangan,” katanya.

Mohamed Khaled juga berkata, dengan mengambil kira isu berbangkit yang melibatkan reputasi ATM seperti kes buli, penderaan, tuduhan rasuah, budaya hedonisme, Kementerian Pertahanan juga akan berusaha memulihkan kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM.

Malah tegasnya, kementerian dan ATM akan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.

“Kita perlu memulihkan integriti dan memastikan sistem tatakelola kita agar ia tidak akan memberikan seinci ruang pun untuk penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tidak hanya menjadikan integriti sebagai mainan di bibir semata-mata.

“ Dan yang terakhir, kita perlu menguatkuasa peraturan dan perkara disiplin dengan tegas.Kepada warga ATM yang terlibat dalam semua kemungkaran moral Ini sehingga merosakkan imej mulia, kita akan pastikan anda semua dihukum dan tersingkir dengan keji daripada perkhidmatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN