Trump dijangka umum pelan pulih Gaza berbilion dolar - Utusan Malaysia

Trump dijangka umum pelan pulih Gaza berbilion dolar

SEORANG lelaki duduk di luar khemah berhampiran bangunan yang rosak di kem pelarian Maghazi untuk pelarian Palestin, tengah Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang untuk mengumumkan pelan pemulihan Gaza bernilai berbilion dolar dan berkongsi butiran mengenai pasukan penstabilan di wilayah Palestin yang sebelum ini dilanda perang antara Hamas dengan Israel.

Pasukan penstabilan itu telah menerima mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila beliau mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Keamanan pada 19 Februari ini.

Pemimpin-pemimpin dari 20 negara dijangka menghadiri mesyuarat itu di Washington DC.

Trump memperkenalkan Lembaga Keamanan di Forum Ekonomi Davos, Switzerland bulan lalu.

Lembaga itu merangkumi hampir semua negara utama Asia Barat sebagai ahli.

Sebahagian anggota lembaga itu ialah Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Turkiye, Pakistan, Armenia, Azerbaijan dan Indonesia.

Trump akan mengumumkan komitmen daripada beberapa negara untuk menyediakan ribuan anggota tentera untuk menyertai pasukan penstabilan itu.

Indonesia menyatakan pada Selasa lalu bahawa ia  sedang bersiap sedia untuk menghantar sehingga 8,000 askar ke Gaza di bawah pelan keamanan Trump. 

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang mengumumkan kesediaan untuk menghantar askar itu, berkata kepada wartawan: “Kami hanya bersiap sekiranya ada perjanjian dicapai dan kami perlu menghantar pasukan pengaman.”

Sementara itu, Trump mahu negara-negara kaya seperti Arab Saudi, Qatar dan UAE menyediakan dana untuk pemulihan Gaza.

Menantu Trump, Jared Kushner membentangkan cadangan pemulihan Gaza di Forum Ekonomi Davos di hadapan pemimpin dunia, walaupun beliau tidak memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran.

Rumah Putih sebelum ini menyatakan beliau menjalankan rundingan bagi pihak Trump sebagai sukarelawan, tetapi Kushner mempunyai urusan kewangan peribadi yang besar di Israel dan beberapa negara Teluk. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×