KUALA LUMPUR: Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang diluncurkan semalam membawa Malaysia ke fasa baharu iaitu ke arah mentransformasikan dan menyediakan rangka kerja strategik untuk memperkukuhkan kemandirian, inovasi serta kemajuan teknologi dalam industri.
Ia memberi tumpuan kepada pelbagai bidang teknologi seperti sektor maritim, aeroangkasa, automotif ketenteraan, persenjataan dan amunisi, siber dan elektromagnetik serta teknologi baharu berasaskan Kertas Putih Pertahanan 2020-2030 (KPP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Malah, pelaksanaan DIPN diyakini mampu mengurangkan kebergantungan pertahanan negara kepada teknologi asing dan memperkukuh keupayaan industri tempatan.
Pelaksanaan DIPN dibahagikan kepada empat fasa iaitu fasa pertama (2025-2026) merupakan penetapan asas dan pembangunan polisi, fasa kedua (2026-2027) pula mengukuhkan industri dan kemajuan teknologi.
Selain itu, fasa ketiga (2028-2029) memberi fokus kepada pengembangan keupayaan dan kesediaan industri pertahanan serta fasa keempat pula menekankan pengoperasian penuh dan daya saing global.
Tujuh projek strategik akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi membina kekuatan pertahanan negara berteraskan teknologi, ilmu dan keupayaan tempatan yang sekali gus memastikan industri pertahanan nasional berkembang secara mampan, berdikari serta berdaya saing
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, DIPN merupakan tonggak penting dalam membina Malaysia yang merdeka, berdaulat dan dihormati di persada dunia.

Kata beliau, dunia pada hari ini berhadapan dengan realiti keselamatan yang semakin rumit, rapuh dan tidak menentu maka Malaysia tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada pihak luar untuk menjamin keselamatan dan pertahanan negara.
“Amat rugilah sekiranya peruntukan besar kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) setiap tahun tidak dimanfaatkan untuk membangunkan industri pertahanan negara yang kendiri, lestari dan berdaya tahan.
“Maka, atas kesedaran inilah, DIPN dirangka dan dilancarkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Peluncuran DIPN di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Majlis peluncuran itu telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad (Boustead Holdings), Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, pihaknya menyahut baik DIPN dan akan memastikan pembangunan sebanyak 400 vendor yang berkeupayan demi industri pertahanan negara.

“Kerajaan ingin memastikan ekonomi dibangunkan di dalam negara, jadi kita kena bangunkan vendor-vendor ini dan apabila ia dibangunkan, ia akan menyediakan banyak peluang pekerjaan seperti jurutera serta kepakaran-kepakaran tertentu yang lain.
“Kita juga akan memastikan terdapatnya pusat latihan di Malaysia untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Ahmad Sabirin berkata, Boustead Holdings juga akan memastikan semua teknologi yang dibangunkan memenuhi piawaian antarabangsa supaya boleh dipasarkan ke luar negara.
“Dengan adanya piawai yang diperakui oleh antarabangsa, insya-Allah, Malaysia dalam masa lima tahun akan menjadi salah satu pemain yang penting di persada antarabangsa,” katanya.
Pengarah Teknologi Perbandingan di Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Kolonel Ts Dr Maimunah Omar pula berkata, DIPN merupakan salah satu anjakan paradigma dalam dasar industri pertahanan negara.

Jelasnya, peluncuran DIPN menunjukkan kesungguhan dan sokongan Kerajaan Madani untuk memperkukuh industri pertahanan negara.
“DIPN menekankan empat ekosistem yang penting serta memberi penekanan kepada perkara-perkara yang melibatkan teknologi, inovasi, penyelidikan selain daripada penghasilan produk-produk pertahanan.
Menerusi program-program Industrial Colabotarion Program (ICP) yang terdapat di dalam perlaksanaan DIPN juga akan memberi peluang kepada generasi-generasi muda untuk menyumbangkan bakat dan keupayaan mereka dalam bidang teknologi pertahanan di mana peluang-peluang yang ada akan membuka pintu pekerjaan kepada ramai anak muda yang mempunyai kemahiran teknologi pertahanan seperti pembangunan drone, satelit dan sebagainya.
Segmen Penyelidikan, Inovasi dan pemindahan teknologi juga dapat dirancakkan. Usaha ini juga merupakan Whole of Government and Whole of Society (WoGoS) di mana tentera dan rakyat bersama-sama mengembleng tenaga dan menyumbang bakti dalam mempertahankan negara.
Katanya, DIPN yang dipacu dengan betul dan sistematik akan mampu mentransformasi Malaysia daripada menjadi sebuah negara pengguna teknologi luar kepada negara yang mampu menghasilkan dan mengeksport produk-produk pertahanannya ke seluruh dunia.
“Kita boleh menjadikan panduan negara-negara lain seperti Turkiye, Korea Selatan dan lain-lain lagi yang telah berjaya membangunkan industri pertahanan mereka namun haruslah mengikut acuan negara kita sendiri.” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Projek Hybrid Vertical Take-Off and Landing Mini Unmanned Aerial System (HVTOLMUAS), Bahagian Teknologi Aeroangkasa, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Ir Adam Gani berkata, DIPN menyuburkan industri pertahanan tempatan.

“Industri pertahanan negara perlu dipertingkatkan berdasarkan situasi geopolitik semasa, dengan pelbagai ancaman sama ada darat, laut dan udara. Jadi pertahanan negara kita perlu diperkukuhkan,” katanya. – UTUSAN










