Rekod tiga tahun KPKM: Imbangi kepentingan rakyat, pesawah dan fiskal negara

Rekod tiga tahun KPKM: Imbangi kepentingan rakyat, pesawah dan fiskal negara

Mohamad Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTUSAN: Datuk Seri kini telah melepasi tahun ketiga menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Jika Datuk Seri perlu menjelaskan kepada rakyat secara menyeluruh, apakah fokus utama kepimpinan Datuk Seri sejak 2022?

Mohamad Sabu: Sejak saya memulakan tugas pada hujung 2022, keutamaan saya jelas, kita mesti memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan mampu diakses oleh rakyat pada harga yang kompetitif. Sebab itu saya perkenalkan slogan ‘cukup dan terjamin’. Ia bukan retorik politik, tetapi keperluan asas sebuah negara.
Negara kita sudah terlalu lama mengurus sektor makanan secara reaktif. Bila harga naik, kita panik. Bila bekalan terganggu, kita salahkan pasaran global. Apa yang kita buat dalam tiga tahun ini ialah mengubah pendekatan daripada jangka pendek kepada pembetulan struktur, supaya sistem ini lebih tahan dalam jangka panjang.

Sektor padi dan beras sering menjadi fokus utama Datuk Seri. Apakah masalah sebenar yang Datuk Seri lihat apabila mula mengambil alih kementerian?

Masalahnya berlapis. Pendapatan pesawah tidak seimbang dengan kos pengeluaran, produktiviti stagnan, dan kebergantungan kepada beras import semakin tinngi. Tahap sara diri beras negara pernah melebihi 70 peratus beberapa dekad lalu, tetapi menurun sehingga sekitar 58 peratus sebelum 2023. Dalam masa yang sama, kos baja, racun dan jentera meningkat. Jika kita tidak campur tangan, pesawah akan terus terhimpit dan akhirnya meninggalkan sawah. Itu bukan sahaja isu ekonomi, tetapi isu kedaulatan makanan negara.

Apakah langkah konkrit yang telah diambil untuk membantu pesawah?

Kita mulakan dengan perkara paling asas—cuba meningkatkan pendapatan pesawah. Harga lantai belian padi kita naikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 satu tan metrik. Ini penting supaya pesawah mendapat pulangan yang lebih adil. Kita juga meningkatkan Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 sehektar, menaikkan insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar, dan memperkenalkan insentif penuaian RM50 sehektar. Langkah-langkah ini nampak kecil di atas kertas, tetapi di lapangan ia sangat bermakna kerana kos operasi memang meningkat. Selain itu, kita perkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan MADANI, supaya pesawah dilindungi melalui nilai perlindungan yang lebih tinggi apabila berlaku banjir, kemarau atau serangan penyakit. Ini soal kelangsungan hidup pesawah, bukan kemewahan.

Isu beras import pernah kecoh ketika India menyekat eksportnya. Bagaimana kerajaan menangani situasi ini?

Bila negara pengeluar utama dunia mengehadkan eksport, harga global pasti terkesan. Dalam keadaan itu, kerajaan tidak boleh berdiam diri. Kita melaksanakan subsidi bersasar untuk beras import, khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan, supaya rakyat di wilayah ini tidak menanggung kenaikan mendadak.
Pada masa yang sama, kerajaan melalui saya dan YAB Perdana Menteri berusaha mendapatkan kelulusan khas import untuk menstabilkan bekalan. Hasilnya, apabila pasaran global mula reda, harga domestik juga kembali lebih stabil. Prinsip kita ialah melindungi rakyat tanpa merosakkan pasaran.

Bagaimana pula dengan isu Beras Putih Tempatan (BPT) yang sering menjadi perhatian rakyat?

Isu BPT tidak boleh dilihat secara simplistik. Apabila harga padi tempatan meningkat, kos pemprosesan beras tempatan turut naik. Jika kita kekalkan harga kawalan tanpa sokongan, pengilang akan tertekan dan bekalan akan berkurang. Jadi kerajaan melaksanakan program subsidi khas BPT secara terhad dan bersasar. Dalam tempoh tertentu, jutaan kampit BPT bersubsidi diagihkan kepada rakyat. Pada masa yang sama, kita perkenalkan sistem penandaan pada kampit beras bagi memahami aliran pasaran dan mengelakkan ketirisan. Langkah ini bukan penyelesaian jangka pendek semata-mata, tetapi sebahagian daripada usaha memahami dan membetulkan struktur pasaran beras negara.

Datuk Seri juga dikenali berani membuat keputusan besar berkaitan subsidi ayam dan telur. Apakah pertimbangan utama ketika itu?

Subsidi ayam dan telur menelan belanja berbilion ringgit setahun. Persoalannya, adakah ia sampai kepada sasaran, atau adakah kawalan harga yang terlalu lama baik untuk industri? Kita dapati struktur subsidi sedia ada tidak lagi mampan. Bagi ayam, subsidi dan kawalan harga ditamatkan secara berfasa apabila bekalan telah stabil. Ramai menjangka harga akan melonjak, tetapi dengan pemantauan rapi dan libat urus industri, harga kekal terkawal. Penjimatan yang dicapai pula boleh digunakan untuk program yang lebih bersasar. Bagi telur, pendekatan lebih berhati-hati diambil. Subsidi dikurangkan secara berperingkat sebelum ditamatkan. Prinsipnya jelas—kita tidak mahu kejutan kepada pengguna, tetapi pada masa yang sama fiskal negara mesti dijaga.

Dalam menangani kos sara hidup, apakah peranan Jualan Agro MADANI?

Jualan Agro MADANI ialah intervensi langsung untuk rakyat. Kita potong rantaian bekalan, bawa hasil terus dari ladang kepada pengguna. Rakyat dapat harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah, pengeluar pula mendapat pasaran tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang tengah. Sehingga 2025, lebih 13,000 siri Jualan Agro Madani telah dianjurkan di seluruh negara. Ini menunjukkan keperluan rakyat kepada pendekatan yang praktikal dan segera.

Datuk Seri sering menekankan isu tatakelola. Mengapa ia penting dalam sektor makanan?

Tanpa tatakelola yang baik, semua dasar akan gagal. Kita perkemaskan pengawasan, memperjelas peranan agensi, dan mengurangkan pertindihan fungsi. Dalam sektor padi dan beras khususnya, pemisahan kuasa pentadbiran dilakukan supaya tidak berlaku konflik kepentingan. Kita juga bergerak ke arah penguatkuasaan yang lebih bersepadu melalui penubuhan MAREA supaya isu penyelewengan, manipulasi pasaran dan ketirisan sektor agromakanan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Bagaimana pula dengan masa depan sektor ini, khususnya melibatkan golongan belia?

Belia ialah kunci masa depan keselamatan makanan negara. Sebab itu kita telah perkasakan Geran Agropreneur Muda. Sehingga 2024, hampir 10,000 agropreneur muda menerima sokongan dengan nilai ratusan juta ringgit. Kita juga perkenalkan geran permulaan dan geran skala, supaya belia bukan sahaja boleh mula, tetapi mampu berkembang. Kita mahu belia melihat pertanian sebagai kerjaya moden berteknologi, berdaya saing dan menguntungkan.

Akhir sekali, selepas tiga tahun, apakah mesej Datuk Seri kepada rakyat?

Saya tidak mendakwa semua masalah telah selesai. Tetapi asasnya sedang kita bina. Kita bergerak daripada pendekatan reaktif kepada sistem yang lebih tersusun, telus dan berdaya tahan. Keutamaan saya kekal sama, rakyat mesti yakin bahawa dalam apa jua keadaan, makanan negara ini akan sentiasa mencukupi dan terjamin. Itu amanah besar, dan saya memikulnya dengan penuh tanggungjawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN