KFC Malaysia perkasa pembangunan belia

KFC Malaysia perkasa pembangunan belia

Nehchal Khanna (kiri) bersama Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dalam foto berkumpulan bersama 200 pelajar universiti di sesi Sembang Kereta Edisi 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 Ia dilaksanakan melalui Kerjasama Strategik bersama Johor Motorsports Racing di “Sembang Kereta Edisi 2025”

CYBERJAYA: KFC Malaysia mengukuhkan komitmennya dalam memperkasa pembangunan belia melalui jalinan kerjasama strategik dengan Johor Motorsports Racing (JMR) dengan membawakan pengalaman paddock perlumbaan secara langsung ke restoran KFC Edusphere, Cyberjaya. 

Inisiatif ini menjadikan sukan permotoran lebih mudah diakses serta menyemarakkan minat generasi muda terhadap industri berimpak tinggi ini.

Memasuki tahun keenam kerjasama, program ini menghimpunkan 200 mahasiswa dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), TOC Automotive College dan City University. Para peserta diberi pendedahan mengenai teknologi, semangat berpasukan, dan kerjasama padu daripada tenaga pakar yang menjadi tulang belakang kejayaan pasukan JMR.

Sesi interaktif Sembang Kereta Edisi 2025 menyaksikan penampilan eksklusif Tunku Panglima Johor,  YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, yang berkongsi pengalaman peribadi mereka sebagai pelumba JMR. Perkongsian tersebut memberi inspirasi kepada para pelajar tentang disiplin dan keazaman tinggi yang diperlukan dalam perlumbaan kompetitif.

TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim (kanan) bersama Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim (kiri) dalam sesi fotografi bersama 200 pelajar universiti di sesi ‘Sembang Kereta Edisi 2025’.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna, berkata: “Kami amat berbangga meraikan pencapaian putera-putera diraja Johor yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.” 

Tambahnya; “Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menamatkan musim kejuaraan GT World Challenge Asia 2025 sebagai naib juara keseluruhan kategori Pro-Am dengan beberapa kedudukan podium termasuk pada pusingan akhir di Beijing. Kejayaan ini mencerminkan peningkatan kehadiran Malaysia di arena sukan permotoran global.”

Ujar Nehchal lagi, Tunku Putera Johor, YAM Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, turut mewakili JMR pada musim 2025 bersama pelumba antarabangsa Alex Sims dan Jordan Love menggunakan jentera baru pasukan, Corvette Z06 GT3.R. Penyertaan baginda menegaskan komitmen Malaysia untuk bersaing di peringkat dunia, sekali gus memberi inspirasi kepada belia untuk menanam impian besar dan menetapkan matlamat jauh.

“Seiring pasukan JMR yang terus gagah melakar kejayaan dalam pentas permotoran antarabangsa, mereka turut membawa bersama jenama KFC. Ini merupakan suatu simbol bermakna yang menandakan kebanggaan dan keutuhan rakyat Malaysia,” ulasnya.

Kerjasama KFC Malaysia dan JMR ini bukan sahaja untuk meraikan arena permotoran tempatan, malah ia juga dapat mengeratkan hubungan antara komuniti perlumbaan dan orang awam. Menerusi sesi perkongsian bermakna ini, para pelajar yang merupakan generasi pelapis masa hadapan telah diberi peluang untuk bertemu dengan lebih dekat  dengan kedua-dua tokoh pemotoran ini sewaktu sesi bertemu peminat. 

SEORANG pelajar universiti merakam detik bermakna bersama Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim (kanan) dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim pada sesi ‘Meet & Greet’.

Selain itu, Nehchal menekankan bahawa sesuatu yang bermula sebagai satu visi dikongsi bersama kini telah menjadi sebuah kerjasama bermakna yang mendukung nilai pendidikan, pemerkasaan dan pembinaan negara.

“Sukan permotoran menuntut ketepatan, kerjasama dan ketahanan mental pemainnya. Kami ingin melahirkan generasi muda yang lebih bersedia menghadapi cabaran dan kekal fokus demi memacu kemajuan negara,” katanya.

Beliau percaya bahawa semangat juang permotoran yang dijana oleh kekuatan ilmu mampu menyediakan golongan muda dengan kemahiran, disiplin dan matlamat untuk mengejar impian, sekali gus mendorong mereka menggapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Sebagai pelengkap inisiatif ini, KFC Malaysia turut meneruskan kempen KFC JMR Win & Feel the Speed yang memberikan peminat bertuah pengalaman eksklusif menghadiri perlumbaan di beberapa litar antarabangsa dengan tajaan penuh pada tahun 2025, termasuk GT World Challenge Asia di Sepang pada April, CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium pada Julai serta Suzuka 1000km di Jepun pada September lalu. Pemenang berpeluang menikmati akses khas ke paddock JMR, grid walk dan sesi pertemuan eksklusif bersama pasukan JMR termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim (kiri) dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berkongsi pengalaman mereka bersama 200 pelajar universiti semasa sesi ‘Sembang Kereta Edisi 2025’.

Hanya dengan berkongsi sorakan paling bersemangat untuk pelumba JMR kegemaran mereka di platform media sosial KFC Malaysia, para peminat berpeluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah dalam sukan permotoran ini.

KFC Malaysia yang dikendalikan oleh QSR Brands, anak syarikat Johor Corporation, menjadikan kerjasama ini sebagai platform bermakna untuk memupuk pembangunan belia serta meningkatkan keterlihatan sukan permotoran tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Biarpun selepas sesi berakhir dan perbualan diteruskan, satu mesej jelas disampaikan — sukan permotoran paling bererti apabila ia dikongsi, dialami dan dihayati secara dekat; dan hari ini, KFC Malaysia memastikan semangat itu dapat disampaikan kepada generasi masa depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN