KRT progresif lonjak perpaduan, 686 belia kini terajui kepimpinan

KRT Progresif lonjak perpaduan, 686 belia kini terajui kepimpinan

Program KRT Progresif membantu penduduk setempat menjana pendapatan baharu melalui pelbagai projek ekonomi yang dijalankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERAKAN perpaduan di peringkat akar umbi terus menunjukkan perkembangan menggalakkan apabila sebanyak 8,603 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini beroperasi di seluruh negara dengan keanggotaan hampir 215,000 ahli jawatankuasa pelbagai kaum, yang memberi manfaat langsung kepada lebih 12.9 juta rakyat Malaysia.

Peningkatan keanggotaan dan program di bawah KRT terbukti seiring dengan pertambahan KRT Progresif kepada 301 kawasan, berbanding hanya 152 pada tahun sebelumnya. Lonjakan hampir dua kali ganda itu didorong oleh peruntukan Belanjawan 2025 berjumlah RM20 juta, yang difokuskan untuk mengukuhkan gerakan kejiranan dan memperkasa ekonomi setempat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, aspirasi KRT Progresif adalah untuk menghidupkan kembali semangat kejiranan melalui aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Aaron Ago Dagang bangga apabila Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berjaya menghidupkan kembali semangat kejiranan.

Usaha itu bukan sahaja bertujuan menjana pendapatan baharu, tetapi juga mengurangkan kos sara hidup, mewujudkan jaringan sokongan sosial dan membangunkan KRT Berdikari yang tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Di bawah konsep KRT Berdikari, kementerian menyasarkan setiap KRT mempunyai tabungan kewangan kukuh melalui projek ekonomi yang dijalankan. Model perkongsian keuntungan 30:70 iaitu 30 peratus kepada tabung KRT dan 70 peratus kepada peserta projek diperkenalkan bagi memastikan manfaat ekonomi diagihkan secara adil serta dapat memberi impak langsung kepada komuniti yang terlibat.

Aset kewangan yang stabil membolehkan lebih banyak program kesejahteraan sosial dilaksanakan tanpa perlu menunggu geran tambahan.

Pada tahun ini sahaja, sebanyak 504 projek ekonomi komuniti Rukun Tetangga telah berjaya dibangunkan merangkumi bidang pembuatan makanan, kraftangan, produk bukan makanan, kebuniti, dan community-based tourism yang bukan sahaja mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti tetapi turut memacu pembangunan ekonomi setempat secara mampan.

Kementerian turut memberi perhatian terhadap penglibatan golongan muda dalam KRT bagi menjawab persepsi institusi itu “idea lama” atau kurang diminati generasi baharu.

Sejajar komitmen reformasi, kerajaan menetapkan 30 peratus keanggotaan tertinggi KRT wajib terdiri daripada anak muda, selain pelaksanaan program seperti Pemerkasaan Jiran Muda bagi menarik penyertaan belia.

Usaha itu membuahkan hasil yang membanggakan apabila terdapat 686 Pengerusi KRT terdiri daripada anak muda berusia bawah 40 tahun berbanding 289 orang pada 2023. Ia merupakan “pencapaian luar biasa” dan bukti keyakinan belia terhadap KRT.

Kementerian menegaskan kesinambungan kejayaan ini akan terus memacu KRT sebagai nadi keamanan setempat, pemacu ekonomi komuniti dan penggerak perpaduan nasional yang relevan dalam landskap sosial hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN