Komitmen kerajaan bela rakyat desa

Komitmen kerajaan bela rakyat desa

SABAH mencatat jumlah tertinggi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) melibatkan pembinaan dan baik pulih ribuan kediaman demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Usaha menyediakan kediaman lebih selesa kekal menjadi fokus utama kerajaan dalam memastikan rakyat di seluruh negara menikmati kemudahan perumahan lebih selesa dan selamat.

Penambahbaikan sektor perumahan luar bandar dilihat semakin penting, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Di bawah agenda itu, Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dilihat memainkan peranan terbesar dan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup ribuan keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

Sejak tiga tahun pelaksanaannya, program ini menyaksikan jumlah bantuan yang semakin bertambah selaras dengan ke­perluan rakyat dan komitmen kerajaan.

Dalam konteks nasional, Sabah muncul sebagai negeri yang menerima peruntukan tertinggi di bawah PPRS, menjadikannya antara yang memperoleh manfaat terbesar daripada pe­laksanaan program tersebut.

Keutamaan ini mencerminkan perhatian serius kerajaan dalam memastikan rakyat negeri itu menikmati kediaman lebih berkualiti, selesa dan sejahtera.

“Perkara ini turut dipacu oleh faktor geografi dan demografi setempat termasuk keluasan penempatan luar bandar yang sangat luas, jumlah rumah daif yang masih tinggi dan keperluan pembangunan kawasan pedalaman yang memerlukan intervensi strategik dan berte­rusan daripada kerajaan,” kata KKDW.

Menurutnya, kerajaan terus memperkukuh agenda kese­jahteraan rakyat dengan mem­peruntukkan sebanyak RM364.45 juta bagi tahun ini dalam melaksanakan 10,003 unit rumah PPRS meliputi 2,250 unit bina baharu dan 7,753 unit baik pulih.

“Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM136.02 juta untuk pembinaan 852 unit rumah baharu dan baik pulih 2,729 unit rumah, menjadikannya negeri dengan jumlah pelaksanaan terbesar di bawah PPRS,” katanya.

KKDW berkata, sejak 2023, pelaksanaan program bantuan rumah menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah unit dan peruntukan, selaras dengan iltizam kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat miskin dan miskin tegar.

“Pada tahun tersebut, seba­nyak RM460.2 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 15,634 unit rumah PPRT yang merangkumi 3,118 unit bina baharu dan 12,738 unit baik pulih, termasuk RM130 juta yang di­salurkan kepada negeri Sabah.

“Momentum ini diteruskan pada 2024 dengan peruntukan RM448.4 juta yang meliputi pembinaan 2,835 unit rumah baharu dan baik pulih 10,943 unit kediaman di seluruh Malaysia, di mana Sabah turut menerima sejumlah RM130 juta bagi pelaksanaan pembinaan rumah di bawah PPRS,” kata KKDW.

KKDW berkata, PPRS merupakan penambahbaikan komprehensif kepada Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilaksanakan sejak lebih 30 tahun lalu demi memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat.

Katanya, bermula 1 Oktober 2024, PPRS telah dijenamakan semula bagi memperkukuh imej dalam memastikan isi rumah yang berpendapatan rendah dapat menikmati kediaman lebih selesa, selamat dan sejahtera.

Katanya, penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan nama tetapi melibatkan tiga penambahbaikan utama iaitu peningkatan saiz rumah daripada 660 kaki persegi kepada 680 kaki persegi.

“Peningkatan kadar bantuan daripada RM66,000 kepada RM79,000 seunit bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM79,000 kepada RM85,000 seunit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala kadar baik pulih di­tingkatkan kepada RM20,000 seunit bagi seluruh Malaysia.

“Susun atur baharu mem­boleh­kan rumah dibina secara melintang atau menegak serta berkonsepkan mesra syariah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN