Hospital Picaso dilancarkan secara rasmi, tonjol keupayaan pembedahan termaju & kecemerlangan onkologi

Hospital Picaso dilancarkan secara rasmi, tonjol keupayaan pembedahan termaju & kecemerlangan onkologi

DULI Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir (tengah), berkenan mencemar duli menghadiri majlis tersebut, diiringi oleh Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti dan Pengerusi Hospital Picaso, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Yang Berbahagia Dato’ Dr Luqman Mazlan, serta Yang Berbahagia Dato’ Dr Loh Chit Sin, bersama barisan kepimpinan Hospital Picaso.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hospital Picaso hari ini melancarkan operasinya secara rasmi dengan memperkenalkan teknologi pembedahan terkini dan rawatan onkologi bersepadu kepada umum. Walaupun telah beroperasi sejak Jun 2024, majlis hari ini menandakan pengenalan rasmi hospital berkenaan kepada masyarakat serta komuniti perubatan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pengarah Perubatan, Dato’ Dr Luqman Mazlan, yang mengetuai sesi lawatan diraja oleh Tuanku Muhriz, berkongsi visi Hospital Picaso untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Pembedahan Termaju dan Pusat Kecemerlangan Onkologi Bersepadu. 

Hospital ini menawarkan rawatan melalui Pusat Urologi, Pusat Kesihatan Wanita, Pusat Payudara, Pusat Gastrointestinal dan Hati serta Pusat Kanser.

Beliau berkata, “Setiap pusat di Hospital Picaso diterajui pakar perunding kanan dan tokoh rujukan dalam bidang masing-masing. Mereka bekerjasama merentasi disiplin untuk memastikan pelan rawatan yang tersusun, bersifat peribadi dan berterusan.”

Pendekatan ini dijangka meningkatkan hasil rawatan khususnya bagi pesakit kanser, endometriosis dan mereka dengan pelbagai masalah kesihatan.

DULI Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berkenan merasmikan Pelancaran Hospital Picaso dengan memotong reben secara simbolik menggunakan sistem pembedahan robotik canggih Da Vinci. Menyaksikan detik bersejarah tersebut ialah Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti merangkap Pengerusi Hospital Picaso, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, bersama Yang Berbahagia Dato’ Dr Luqman Mazlan dan Yang Berbahagia Dato’ Dr Loh Chit Sin.

Pengerusi Amalan Klinikal dan Ahli Lembaga Pengarah Hospital Picaso, Datuk Dr Loh Chit Sin turut memperkenalkan teknologi pembedahan terkini yang dimiliki hospital tersebut; termasuk KOELIS untuk prosedur prostat berpanduan ketepatan, sistem pembedahan robotik Da Vinci Xi bagi pembedahan invasif minimum, serta NanoKnife System iaitu teknologi ablasi bukan haba untuk rawatan tumor.

Beliau menegaskan komitmen Hospital Picaso untuk menyediakan rawatan komprehensif di Malaysia tanpa keperluan pesakit mendapatkan rawatan di luar negara.

Pelancaran bersejarah ini menampilkan upacara simbolik memotong reben oleh Tuanku Muhriz menggunakan sistem pembedahan robotik Da Vinci Xi; robot yang sama digunakan oleh pakar bedah Hospital Picaso. Upacara berkenaan menjadi simbol visual bagaimana teknologi termaju dan kepakaran manusia digabungkan sebagai teras falsafah Hospital Picaso.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr Loh berkata, “Kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjagaan klinikal, tetapi juga kepada pembinaan kapasiti, latihan dan perkongsian ilmu bagi melahirkan generasi pakar akan datang. Usaha ini penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembedahan invasif minimum dan pembedahan robotik.”

Sejak mula beroperasi pada 19 Jun 2024, Hospital Picaso telah mencatat beberapa pencapaian nasional termasuk jumlah pembedahan robotik tertinggi di Malaysia dalam tahun pertamanya, pelaksanaan prosedur NanoKnife pertama negara bagi kanser prostat, serta pembedahan robotik tanpa parut VNOTES pertama untuk kanser lapisan rahim (endometrium) di negara ini.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Lee Chean Chung; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, YB Rajiv Rishyakaran; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia OneHealthcare, Dr Chan Boon Kheng; Pengarah Eksekutif Asia OneHealthcare, Anwar Anis; Pengarah Eksekutif Kumpulan Quill, Dato’ Ar. Michael Ong Leng Chun; dan Pengarah Urusan Kumpulan Quill, Dato’ Dr Jennifer Low Moi Ing.

Hospital Picaso merakamkan penghargaan kepada semua rakan dan tetamu yang menjayakan majlis pelancaran ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN