Hari Keluarga ATM kukuhkan kebersamaan, kesepaduan anggota

Hari Keluarga ATM kukuhkan kebersamaan, kesepaduan anggota

Mohamed Khaled Nordin bermesra dengan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kem Paradise Kota Belud, Sabah, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Penganjuran Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Kota Belud bukan sekadar acara santai dan riadah sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kebersamaan, keharmonian dan kesepaduan antara anggota, keluarga serta komuniti setempat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program Hari Keluarga ATM menjadi ruang untuk menghargai sokongan keluarga ATM yang sentiasa bersama menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.

Menurut beliau, program itu turut melibatkan Panglima Tentera Darat, Ketua Staf Markas ATM, Warga Kerja Pertahanan (WKP) seperti Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), Veteran ATM dan staf awam.

“Walaupun program itu berbentuk santai dan bersifat riadah, ia tetap menjadi agenda penting Kementerian Pertahanan dalam memperkukuhkan hubungan antara warga ATM dan masyarakat setempat, seiring aspirasi kementerian untuk membina ekosistem pertahanan yang sejahtera.

“Kementerian bukan hanya menumpukan soal kesiapsiagaan ketenteraan, tetapi turut memberi perhatian kepada kesejahteraan hidup anggota dan keluarga mereka agar kehidupan sentiasa sejahtera, damai dan harmoni,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penganjuran Hari Keluarga ATM seperti itu menyuburkan semangat kebersamaan antara anggota, keluarga dan veteran ATM yang pernah berkhidmat untuk negara.

Kata beliau, semua warga pertahanan dan keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kita semua adalah warga pertahanan negara. Maka, keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau menegaskan, apabila keselamatan negara terjejas, anggota ATM dan keluarga turut menerima kesannya kerana tanggungjawab menjaga negara bukan tugas yang ringan.

Oleh itu, katanya, karnival Hari Keluarga ATM menjadi platform meningkatkan kesedaran mengenai peranan penting warga pertahanan dalam memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman dan stabil.

“Kementerian Pertahanan sentiasa memberi perhatian bukan sahaja kepada kekuatan ketenteraan, tetapi juga kepada kebajikan dan keharmonian keluarga anggota agar mereka dapat berkhidmat dalam keadaan sejahtera.

“Karnival Hari Keluarga ATM, mampu menyuntik semangat kekitaan dalam kalangan anggota, keluarga dan veteran sekali gus mengingatkan semua tentang peranan mereka sebagai tulang belakang pertahanan negara,” katanya.

Mohamed Khaled turut mengingatkan warga pertahanan mesti kekal padu, jelas dalam pendirian dan memahami keutamaan untuk memastikan kestabilan negeri dan keselamatan rakyat terus terjamin.

Beliau memberi amaran agar tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak yang cuba menghasut kebencian atau memecahbelahkan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam soal mempertahankan keselamatan Sabah.

“Tidak semua anggota ATM datang dari Sabah. Ada dari Sarawak, Semenanjung dan seluruh negara. Namun semuanya menjaga Sabah seperti menjaga negeri sendiri. Sebab itu Sabah selamat,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan komitmen Kementerian Pertahanan untuk terus memperkukuhkan keselamatan negeri itu dan memastikan rakyat hidup dalam keadaan stabil serta sejahtera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN