JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor meneruskan komitmen memacu pembangunan insan dan pengukuhan institusi agama melalui pembentangan Belanjawan Johor 2026, yang menyaksikan pelbagai inisiatif berskala besar di bawah Portfolio Hal Ehwal Agama Islam.
Dengan peruntukan ratusan juta ringgit merentasi empat teras utama – tadbir urus, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas – serta satu teras besar khusus untuk orang muda Johor, belanjawan kali ini memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Inisiatif yang diumumkan bukan sekadar menjawab keperluan semasa, malah membina asas jangka panjang untuk kelestarian sosial, pendidikan dan pembangunan agama di negeri ini.
Teras 1: Tadbir Urus Kerajaan – RM20.24 juta
Belanjawan 2026 memperlihatkan usaha konsisten kerajaan memperkukuh institusi agama serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat.
Antara yang paling ketara ialah peluasan Program Semarak Subuh Johor – sebuah program yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat – dengan peruntukan RM2.92 juta. Mulai tahun hadapan, program ini akan dilaksanakan tiga kali seminggu, melibatkan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Daerah. Pelaksanaan baharu ini dijangka mewujudkan gelombang budaya solat berjemaah yang lebih meluas di seluruh negeri.
Dalam masa yang sama, lebih 2,150 guru KAFA bakal menerima manfaat kenaikan elaun sebanyak RM150 sebulan, menjadikan jumlah terkini RM1,762 bermula Januari 2026. Langkah ini jelas menunjukkan penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan guru-guru agama yang menjadi tulang belakang pendidikan asas Islam.
Tidak terkecuali ialah sokongan kepada institusi tahfiz dan sekolah agama swasta melalui bantuan RM2.5 juta yang akan diagihkan kepada 167 institusi, termasuk Sekolah Agama Husnul Khatimah di Penjara Kluang.
Peruntukan lain termasuk RM8.9 juta bantuan one-off Bilik Guru, yang akan memanfaatkan lebih 54,000 guru di sekolah kerajaan, SJKC, SJKT dan sekolah agama. Ia merupakan bantuan kali ketiga disalurkan sebagai tanda kepedulian terhadap para pendidik.
Teras 2: Pembangunan Ekonomi – RM1.642 juta
Teras kedua memberi fokus kepada pengukuhan industri halal, selari dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai hab halal serantau.
Kerajaan mengambil langkah strategik dengan menstruktur semula PIJ Halal Ventures kepada entiti baharu iaitu Johor Halal Development Corporation (JHDC) yang akan memacu sektor ini dengan lebih profesional dan tersusun.
Inisiatif Halal Green Lane Johor pula menjadi pembaharuan penting apabila tempoh kelulusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dipendekkan kepada 15 hari berbanding 30 hari sebelum ini. Langkah ini dijangka memberi impak besar kepada usahawan kecil dan sederhana yang sering berdepan prosedur rumit.
Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi mempersijilkan 500 usahawan Muslim, selain RM200,000 untuk kursus profesional Eksekutif Halal dan Auditor Halal. Program keusahawanan kantin SAKJ dan TVET
Pengurusan Industri Halal turut digerakkan sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan dan tenaga kerja mahir dalam ekosistem halal.

Teras 3: Jaringan Keselamatan Sosial – RM253.916 juta
Teras ketiga merupakan segmen terbesar dalam belanjawan, menunjukkan keutamaan kerajaan kepada golongan rentan, keluarga berpendapatan rendah dan komuniti asnaf.
Antara inisiatif utama ialah Program Infaq Jumaat Johor, diilhamkan DYAM Tunku Mahkota Ismail. Program ini bukan sekadar skim bantuan, tetapi gerakan besar-besaran menghidupkan budaya berinfaq dalam kalangan masyarakat. Dengan peruntukan RM26.9 juta, program ini diperluaskan pada 2026 kepada lebih banyak institusi dan penerima.
Bantuan berbentuk tunai dan kebajikan turut diperkukuh:
* BKJ Pegawai Masjid, Penggerak DUN, Guru al-Quran & Takmir – RM8.8 juta (8,813 penerima)
* Dapur Kasih Johor – RM9 juta (16,500 keluarga)
* Bantuan Sara Hidup Bulanan – RM82.8 juta (19,340 penerima)
* Bantuan Perubatan Bulanan – RM100.5 juta (7,000 asnaf)
* Bantuan Hari Raya – RM20 juta (90,349 penerima)
Program lain termasuk bantuan bencana alam, Gerobok Rezeki yang kini membantu lebih 22,600 penerima, serta skim takaful berkelompok melibatkan 160 Sekolah Agama Kerajaan Johor.
Dengan peruntukan lebih RM250 juta, inisiatif-inisiatif ini bukan sekadar mengurangkan beban kos sara hidup, malah membuka ruang kehidupan lebih bermaruah untuk golongan yang memerlukan.
Teras 4: Kemudahan Asas – RM69.44 juta
Teras ini memfokuskan pembangunan fizikal dan infrastruktur yang menyokong pengurusan institusi agama di seluruh negeri.
Pembaikan dan naik taraf sekolah agama kerajaan menerima RM9.66 juta, manakala pembukaan empat tanah perkuburan baharu melibatkan peruntukan RM19.3 juta. Langkah ini penting bagi mengatasi kekangan kapasiti tanah perkuburan di kawasan bandar.
Johor turut memperuntukkan RM25.6 juta bagi membaik pulih tanah perkuburan sedia ada serta RM7.8 juta untuk pembinaan enam masjid kariah baharu di beberapa lokasi strategik. Naik taraf masjid-masjid sedia ada, rumah pegawai dan guru agama serta bangunan Mahkamah Syariah melengkapkan agenda infra agama negeri.
Orang Muda Johor – RM69.99 juta
Golongan muda terus diberi perhatian besar melalui pelbagai bantuan pendidikan, sokongan kebajikan dan peluang pengajian.
Program Back to School menerima peruntukan terbesar iaitu RM28.8 juta dan bakal memanfaatkan 189,000 pelajar B40 dan asnaf. Bantuan meliputi pakaian sekolah dan kelengkapan asas.
Mahasiswa juga tidak terkecuali. Bantuan laptop (RM13.56 juta), bantuan pendaftaran (RM9 juta), dermasiswa Timur Tengah (RM3.81 juta), pinjaman pendidikan perubatan (RM3 juta) serta bantuan tiket penerbangan dan bas percuma musim perayaan menunjukkan komitmen negeri terhadap kebajikan anak Johor.
Program Tuisyen SPM 2026 pula dijangka membantu 12,000 pelajar, manakala insentif Isbat Hafaz al-Quran bernilai RM5.4 juta terus mengiktiraf pencapaian 931 huffaz.
Kesimpulan
Mengimbangi antara pendekatan spiritual, ekonomi dan sosial, Belanjawan Johor 2026 jelas menampilkan perancangan yang matang dan komprehensif. Dengan tumpuan yang besar kepada kebajikan rakyat, pembangunan institusi agama serta sokongan kepada generasi muda, negeri ini memperlihatkan iltizam tinggi untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat pembangunan secara adil dan inklusif.
Belanjawan ini bukan hanya angka dan peruntukan, tetapi gambaran masa depan Johor – sebuah negeri yang progresif, stabil, dan berteraskan nilai Islam yang rahmah dan menyantuni rakyat. – UTUSAN








