ADMM bukti hala tuju jelas dasar pertahanan, diplomasi ASEAN

ADMM bukti hala tuju jelas dasar pertahanan, diplomasi ASEAN

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempengerusikan mesyuarat pada Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Ke-19, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hubungan baik antara negara ASEAN dalam aspek pertahanan dengan berpaksi kepada kebersamaan dan kepercayaan terbukti jelas menerusi penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM Plus (ADMM-Plus) ke-12 yang diadakan dari 30 Oktober hingga hari ini.

Buktinya dapat dilihat apabila menteri-menteri pertahanan dari negara ASEAN duduk semeja membincangkan pelbagai isu serantau termasuk penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), protokol tindak balas bencana serantau, latihan maritim bersama negara rakan, serta penyata bersama mengenai kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan.

Selain itu, lapan negara rakan dialog plus iaitu Amerika Syarikat (AS), Russia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand turut hadir, menjadi bukti kekuatan ASEAN khususnya Malaysia dalam menyediakan suasana selamat serta dipercayai bagi membolehkan kuasa-kuasa besar berdialog tanpa tekanan geopolitik.

Apatah lagi penganjuran ADMM dan ADMM-Plus cukup signifikan dengan penyertaan Timor Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11.

Justeru, tempoh empat hari berlangsungnya mesyuarat ini telah diisi dengan pelbagai program dan perkembangan terbaru yang memberi impak kepada hala tuju pertahanan bukan sahaja ASEAN.

Ini dibuktikan apabila kedua-dua mesyuarat penting ini menerima pakai 20 inisiatif untuk ‘Kesepaduan ASEAN demi Keselamatan dan Kemakmuran’, seiring tema penganjuran ADMM dan ADMM-Plus.

Jumlah tersebut antara yang tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh satu tahun sejak penubuhan ADMM pada 2006.

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins KC ketika menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus Ke-12, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara tumpuan yangakan diberikan dalam inisiatif berkenaan termasuk pengeluaran kenyataan bersama mengenai kerjasama dalam bidang AI.

Katanya, perkembangan pesat teknologi AI membawa impak besar kepada sektor keselamatan dan pertahanan dengan menegaskan pendirian ASEAN untuk mendekati pembangunan serta penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Mohamed Khaled dalam masa yang sama berkata, pengesahan prosedur operasi standard (SOP) bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ASEAN juga berjaya menjadi tanda aras pencapaian utama ADMM ke-19.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keupayaan rantau ASEAN dalam bertindak balas terhadap bencana besar melalui penyelarasan yang lebih pantas, sistem komunikasi bersepadu dan protokol bantuan bersama yang lebih berkesan.

“Prosedur ini akan memastikan koordinasi yang cekap dan respons pantas ketika berlaku krisis bencana, sama ada di darat, laut atau udara. Ia akan mempertingkatkan daya tahan ASEAN dalam menghadapi cabaran kemanusiaan,” katanya.

Selain itu, penganjuran ADMM Ke-19 berjaya mencapai kejayaan apabila Deklarasi Bersama Kuala Lumpur diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn sebagai simbol komitmen berterusan rantau ini terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.

Deklarasi tersebut mengguna pakai sekurang-kurangnya sembilan inisiatif berkaitan perpaduan ASEAN dan menjadi sebahagian daripada 20 perkara utama bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau, menegakkan keamanan serta memupuk kemakmuran bersama dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang.

Apa yang paling penting, deklarasi itu meluluskan Persidangan Keselamatan Siber Maritim sebagai aktiviti kedua di bawah Kerangka Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP), sekali gus menjadi platform untuk menangani pertembungan yang menjadi antara cabaran keselamatan maritim dan siber.

Selain itu, Peraturan Prosedur (ROP) bagi Kerjasama Institusi Pendidikan Pertahanan ASEAN (ADEIC), yang berfungsi sebagai rangka kerja untuk memperkukuh rangkaian serta mempromosikan pendidikan ketenteraan dan pertahanan di universiti, kolej, institut dan akademi pertahanan negara anggota ASEAN.

ADMM kali ini turut mengguna pakai inisiatif Prosedur Operasi Piawai (SOP) mengenai Pemerkasaan Kerjasama antara Angkatan Pertahanan NegaraNegara Anggota ASEAN dalam Kawalan Pandemik Rentas Sempadan, yang menggalakkan kolaborasi antara institusi pertahanan ASEAN dalam menangani pandemik rentas sempadan.

Inisiatif Terma Rujukan (TOR) bagi Mekanisme Sokongan Diperhebat untuk Penjaga Keamanan Wanita ASEAN (ESMAWP), yang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan penjaga keamanan wanita ASEAN untuk menyertai operasi pengaman Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) selaras dengan Pelan Tindakan Serantau ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) serta Agenda WPS PBB.

Protokol Tambahan Ketiga kepada Kertas Konsep mengenai Penubuhan ADMM dan ADMMPlus bagi mempertingkatkan lagi prosesnya dan menjadi panduan dalam menentukan keutamaan EWG ADMM-Plus serta pelaksanaan Program Pemerhati Diperhebat.

Di samping itu, satu lagi inisiatif penting yang diluluskan ialah Deklarasi Bersama mengenai Pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan Asean bawah Wawasan Komuniti Asean 2045.

Menurut Mohamed Khaled, ia merupakan bukti nyata komitmen negara anggota untuk memperkukuh perpaduan serantau serta menuju ASEAN yang aman, stabil dan berpandangan jauh.

Dalam perkembangan lain, ADMM-Plus Ke-12 yang diadakan dalam tempoh sama berjaya menjadi platform kepada penyatuan Kemboja dan Thailand dalam memastikan konflik sempadan kedua-dua negara berakhir.

Pertemuan itu diadakan bersama Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth, sebagai tanda komitmen bersama dalam melaksanakan Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur.

Ini sekali gus menjadi tanda kejayaan Malaysia bukan sekadar dalam aspek penganjuran ADMM dan ADMM-Plus, tetapi sebagai pengantara bagi menyelesaikan konflik antara dua negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN