Kejayaan bersejarah melalui tujuh platform utama

Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025: Kejayaan bersejarah melalui tujuh platform utama

Dari kiri: Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, Abu Huraira Abu Yazid, Gilbert F. Houngbo, Fadillah Yusof, Steven Sim, Azman Mohd. Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA), Dr. Haji Shaharin Umar pada Majlis Makan Malam Gala yang berlangsung di Kuala Lumpur Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills – AYOS) 2025, inisiatif utama Malaysia di bawah Pengerusi ASEAN 2025, telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Makan Malam Gala yang berlangsung di Kuala Lumpur Rabu lalu. Bertemakan Colours of Success: A Celebration of Achievements, majlis ini menandakan kemuncak kepada perjalanan sepanjang tahun, meraikan pencapaian dan kejayaan bersama sepanjang pelaksanaan AYOS 2025.

Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

AYOS 2025 dilancarkan secara rasmi pada 14 April 2025 di Kuala Lumpur. Inisiatif ini diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) melalui agensinya Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan sokongan padu daripada ILO dan Sekretariat ASEAN (ASEC).

Bertemakan Bridging Talent, Building ASEAN, AYOS 2025 menunjukkan usaha bersepadu rantau ini dalam memperkukuh ekosistem kemahiran yang inklusif, mampan dan bersedia untuk masa hadapan. Ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk mentransformasi tenaga kerja dan memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai peneraju global dalam pembangunan modal insan serta transformasi kemahiran.

Fadillah berkata: “AYOS 2025 benar-benar mencerminkan keyakinan bahawa apabila kita melabur dalam kemahiran, kita bukan sahaja melabur untuk rakyat kita, tetapi juga untuk masa depan dan kemakmuran ASEAN.”

Tambahnya, AYOS 2025 telah menjadi antara inisiatif penting yang meletakkan pembangunan modal insan di tengah-tengah agenda serantau.

“Bersama-sama, kita telah memperkenalkan model inovatif, memacu kerjasama berasaskan industri dan membangun rangka kerja yang menggalakkan mobiliti bakat serta pengiktirafan bersama merentasi sempadan,” ujarnya.

Sementara itu, Gilbert F. Houngbo berkata: “Apabila kita melangkah ke hadapan, momentum yang dibina oleh AYOS 2025 menjadi asas kukuh untuk masa hadapan. Saya amat berbesar hati dengan inisiatif baharu antara Kerajaan Malaysia, HRD Corp dan ILO yang akan memberi sumbangan besar dalam membangunkan tenaga kerja yang seiring dengan ekonomi hijau dan digital yang sedang berkembang.”

Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan pada Majlis Gala Malam Penutup Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, Rabu lalu.

Steven Sim pula berkata, AYOS 2025 merupakan satu inisiatif bersejarah bagi ASEAN yang membuktikan komitmen kolektif dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan.

“Ketika kita meraikan kejayaannya, kita juga memperbaharui tekad untuk memperkasa bakat di seluruh rantau ini dan memastikan peluang untuk semua terus maju dan berkembang dalam dunia kerja yang sentiasa berubah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, perjalanan AYOS 2025 menunjukkan kekuatan kolaborasi dan visi bersama antara negara-negara ASEAN.

“HRD Corp berbangga memainkan peranan dalam membentuk pembangunan kemahiran yang bukan sahaja inovatif dan inklusif, tetapi juga berorientasikan ke arah mewujudkan tenaga kerja mampan dan berdaya saing untuk masa depan,” katanya.

AYOS 2025 telah menggerakkan kerajaan, industri dan komuniti melalui tujuh platform utama yang merapatkan jurang kemahiran, menggalakkan mobiliti bakat dan memperkukuh keterangkuman di seluruh ASEAN. Inisiatif ini juga memupuk kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta serta mempertingkatkan daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi peralihan global.

Majlis Makan Malam Gala turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN; duta-duta ke Malaysia serta wakil-wakil daripada agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat.

Walaupun AYOS 2025 telah berakhir, usaha untuk membangunkan tenaga kerja ASEAN yang berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan inklusif akan diteruskan. Asas kukuh yang telah dibina melalui inisiatif ini akan menjadi panduan kepada kerjasama berterusan, bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersiap sedia untuk masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN