JOHOR BAHRU: Lapan ajaran sesat dikesan masih ‘hidup’ di negeri ini walaupun tidak bergerak aktif seperti beberapa tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan ajaran-ajaran berkenaan termasuk individu-individu yang sebelum ini dikenalpasti pernah terlibat.
“Trend terkini menunjukkan tiada peningkatan mendadak dan tiada bukti gelombang besar ajaran sesat baharu yang belum dikenal pasti, tetapi ada percubaan membawa masuk atau menyebar kembali ajaran yang telah difatwakan sesat sebelum ini.
“Lapan ajaran itu adalah Hizbut Tahrir; Syiah; Wahabi, Millah Abraham; Si Hulk; GISBH; Qadiani dan Ahmadi Religion, ini yang besar, yang kecil lain-lain itu kita yakin sudah tiada lagi di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fared, pihaknya akui ajaran-ajaran tersebut masih mempunyai pengikut tetapi golongan berkenaan tidak berani untuk tampil menyebarkannya secara terbuka susulan tindakan tegas diambil pihak berkuasa.
“Tiada data jelas jumlah ahli mereka, tetapi kami maklum pengikut mereka masih ada dan usaha menghapuskan terus ajaran-ajaran berkenaan memang dibuat secara berterusan.
“Apa yang kami harap adalah kerjasama awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti sedemikian. Rakyat jangan rasa takut atau merasakan bahawa aduan mereka tidak akan didengari,” katanya.
Selain lapan ajaran yang telah difatwakan sesat tersebut, beberapa ajaran sesat lain yang dikesan pernah cuba disebar di negeri ini termasuklah ajaran Ilmu Hakikat; Layar Bahtera; Ayah Pin; Al-Arqam; Black Metal; Azman Samat dan Hadi Minalah. – UTUSAN










