KUALA LUMPUR: Peragaan fesyen pada program Meet And Greet Hi-Tea sempena ASEAN Arts and Crafts Bazaar (AACB) 2025 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini kelmarin menjadi tarikan utama dengan mengetengahkan 44 koleksi rekaan berinspirasikan produk kraf Malaysia seperti tekstil, tenunan, sulaman, hasil rimba dan hasil logam.
Peragaan fesyen ini menampilkan koleksi rekaan hasil daripada kolaborasi antara pereka Kraftangan Malaysia dengan usahawan kraf dan pereka fesyen tempatan iaitu Jafiqa (Manis Jingga), Karyaneka (Rona Alam), Salikin Sidek (Busana Tradisional Warisan Melayu), Ang Eng (Kebaya Alam Tropika) dan Kraftangan Malaysia (Malaysian Craft Textile).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, melalui kolaborasi kreatif antara pereka Kraftangan Malaysia dengan usahawan kraf dan pereka fesyen tempatan terkemuka dapat memartabatkan identiti kraf Malaysia di pentas antarabangsa sekali gus memastikan industri ini terus berdaya saing.
“AACB 2025 merupakan usaha strategik memperkukuh ekosistem industri kraf negara melalui kerjasama serantau. Inisiatif itu juga diyakini dapat memperkukuh kedudukan kraf Malaysia di peringkat global serta memperluas jaringan komersial produk tempatan,” katanya.
Melalui AACB katanya, Malaysia bukan sahaja mempamerkan keindahan dan kehalusan seni kraf tempatan, bahkan menggalakkan jalinan niaga antara pengusaha Malaysia dengan rakan-rakan ASEAN dan antarabangsa.
Tambahnya, ia merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan identiti kraf Malaysia ke persada dunia,” katanya.
“Selama 11 hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk reruai perniagaan, jualan kraf, pameran produk kraf baharu, pameran teknologi, demonstrasi kraf oleh Adiguru serta usahawan tempatan, selain pameran khas seperti Tenun Pahang Diraja dan ASEAN Miniature Gallery yang mengetengahkan keunikan warisan kraf serantau.
“Menariknya, AACB turut menampilkan demonstrasi kraf antarabangsa melibatkan penyertaan jurudemo dari sembilan negara termasuk Brunei (songket), Kemboja (sutera ikat tenun), Lao PDR (tenunan), Thailand (barang kemas), Vietnam (hasil rimba), Timor Leste (sulaman tais), China (anyaman buluh), Uzbekistan (ukiran seramik) dan Turkiye (sulaman tradisional),” katanya.
Aktiviti itu katanya, bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendalami proses penghasilan kraf luar negara, malah memperkukuh hubungan budaya antara negara-negara peserta.
“Penganjuran kali ini menyasarkan hasil jualan sebanyak RM8 juta dan menarik seramai 100,000 pengunjung, sekali gus membuka ruang lebih besar kepada usahawan kraf tempatan menjalin kerjasama perniagaan dengan pengusaha dari negara ASEAN serta antarabangsa,” katanya. – UTUSAN