KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengkaji semula dasar harga beras putih tempatan yang masih kekal pada paras RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008, kerana ia dilihat menjejaskan daya saing pesawah tempatan serta berisiko melemahkan industri padi negara.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, harga siling RM2.60 sekilogram yang ditetapkan sejak 17 tahun lalu tidak pernah disemak, sekali gus kerajaan perlu melihat kewajaran untuk mengkaji semula selaras dengan kos sara hidup pada masa kini.

Katanya, sebagai keputusan ‘menang-menang’ kepada semua pihak, kerajaan dicadang meningkatkan bantuan SARA kepada rakyat Malaysia supaya ia boleh digunakan kepada pembelian beras tempatan.
“Kami faham kalau kerajaan mahu menaikkan harga beras, ia akan menjadi masalah kerana bimbang rakyat marah memandangkan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir. Jadi, ini antara perkara yang mungkin kerajaan risaukan.
“Oleh itu, saya rasa perkara pertama yang kerajaan boleh lakukan adalah bantuan SARA dinaikkan daripada RM100 kepada RM150. Saya ambil kira begini, beras sekilogram boleh dimakan oleh kira-kira 10 orang manakala 10 kilogram beras mencukupi untuk seisi keluarga.
“Kalau sebuah keluarga besar sekalipun, mereka hanya memerlukan sekitar 10 hingga 20 kilogram beras sebulan, dan itu sudah mencukupi. Jadi di sini, kami minta kerajaan menambah jumlah bantuan SARA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada ketika ini, kerajaan memberi bantuan SARA kepada mereka yang layak sebanyak RM100 sebulan bagi memberi barangan keperluan terpilih.
Dengan langkah ini, jelas Abdul Rashid lagi, kerajaan telah membuat keputusan yang seimbang kepada semua pihak kerana dilihat nasib rakyat tetap terbela manakala keperluan pesawah dalam industri padi dan beras tidak terabai.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan kerajaan mengapungkan harga beras putih tempatan antara RM3.20 hingga RM3.80 sekilogram, sambil menyesuaikan harga lantai padi kepada RM1,800 satu metrik tan.
“Dengan cara ini, pesawah mendapat harga yang adil, pengilang dan pemborong masih memperoleh margin munasabah, manakala rakyat tidak akan rasa terbeban kerana telah dibantu melalui SARA. Ia situasi menang-menang,” katanya.
Abdul Rashid juga menegaskan kualiti beras bersubsidi yang dijual pada harga RM26 untuk 10 kilogram sering menjadi rungutan pengguna kerana mutu yang rendah, cepat rosak serta kandungan hancur yang tinggi.
“Kalau kerajaan terus kekalkan imej sebagai negara dengan harga beras paling murah di Asia, akhirnya yang terkorban adalah pesawah. Thailand sudah mengukuhkan harga beras mereka, jadi Malaysia juga perlu berani mempertahankan harga yang lebih realistik,” katanya.
Cadangan itu, menurut mereka, bukan sahaja mengelakkan manipulasi seperti repacking dan pencampuran beras import dengan beras tempatan, malah boleh mengharmonikan semula industri padi dan beras.
“Kami mahu kerajaan melihat perkara ini secara serius, kerana jika keuntungan terus merosot, anak muda tidak lagi berminat menjadi pesawah. Akhirnya, pengeluaran padi tempatan akan merosot dan negara terpaksa bergantung kepada import,” katanya. – UTUSAN