PETALING JAYA: Pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat dengan menikmati harga petrol lebih rendah pada RM1.99 seliter, malah dilihat mampu memperkukuh asas ekonomi negara melalui penjimatan fiskal yang signifikan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan memansuhkan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Katanya, dengan penjimatan daripada penarikan subsidi diesel, kerajaan mampu untuk meningkatkan peruntukan kepada rakyat dan menambah baik pelbagai kemudahan asas rakyat.
“Penjimatan daripada inisiatif ini juga akan dapat digunakan untuk memperluas lagi bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Dengan adanya penjimatan, kita mampu menambah peruntukan untuk rakyat. Kita boleh membaiki sekolah, klinik dan menyediakan lebih banyak bentuk bantuan kerana asas fiskal negara lebih kukuh,” katanya ketika ditemui pada Taklimat Media Penyasaran Subsidi RON95 baru-baru ini.
Menurutnya, semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
“Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99.3 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan,” katanya.
Walaupun kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, katanya, BUDI95 akan dilaksanakan dengan hasrat untuk memastikan keperluan harian rakyat dapat dipenuhi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, inisiatif itu dapat meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam, mengurangkan beban fiskal kerajaan serta memperkukuh daya tahan kewangan negara dalam jangka panjang.
Katanya, dengan pendekatan subsidi bersasar, kerajaan dapat mengelakkan ketirisan yang selama ini menjadi masalah kepada negara.
“Dengan mengalihkan subsidi daripada model universal kepada sistem bersasar, kerajaan bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran dan menutup ruang ketirisan, tetapi juga memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
“Perubahan mekanisme ini memberi isyarat jelas kepada pasaran bahawa disiplin fiskal Malaysia lebih telus dan mampan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Idham, penjimatan hasil pengurangan subsidi boleh disalurkan semula kepada sektor pembangunan strategik seperti kesihatan, pendidikan dan bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan.
“Dengan kedudukan fiskal lebih stabil, Malaysia berpeluang menyediakan penampan kukuh untuk menghadapi sebarang kejutan luaran atau krisis global,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, manfaat BUDI95 bukan hanya terhad kepada penjimatan kos sara hidup rakyat tetapi juga dapat membentuk asas kewangan negara yang lebih sihat.
“Secara keseluruhan, pelaksanaan ini merupakan keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh struktur ekonomi. Jika konsisten, ia mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kira-kira 16 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah akan menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September ini.
Beliau menjelaskan, subsidi di bawah BUDI95 diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira tahap pendapatan atau kedudukan, manakala bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak menerimanya.
Mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar tidak lagi layak menerima subsidi. Ia hanya untuk individu dengan lesen memandu sah.
Di bawah inisiatif ini, semua rakyat layak menerima siling bulanan sebanyak 300 liter, manakala pemandu e-hailing dikecualikan dan boleh memohon nilai lebih tinggi. – UTUSAN