MELAKA: Keistimewaan Malaysia yang menjadi habitat kepada lebih 15,000 spesies tumbuhan dan 175,000 spesies fauna mampu menjadi tarikan untuk menarik kedatangan pelancongan asing ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancongan berasaskan alam semula jadi merupakan antara segmen bernilai tinggi selain pelancongan lasak, mesra Muslim, perkhidmatan perubatan dan kesihatan, lawatan pendidikan, acara perniagaan dan hab nomad digital.
“Kesemua keutamaan ini menjadi tulang belakang strategi Malaysia untuk membangunkan sektor pelancongan secara bermakna, lestari dan berdaya tahan pada masa hadapan. Seiring dengan semangat itu, kami turut mempromosikan model kitar semula dan mekanisme perkongsian hasil yang menyalurkan pulangan pelancongan kembali ke destinasi yang menyokongnya.
“Langkah ini membantu menangani apa yang digelar para sarjana sebagai ‘beban tidak kelihatan’ iaitu kos terselindung dalam penyelenggaraan infrastruktur dan ekosistem yang menjadi sandaran pelancongan,” ujarnya pada majlis perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof.
Beliau berkata, sebab itulah melindungi hutan hujan, paya bakau dan terumbu karang bukan sekadar tanggungjawab negara tetapi amanah global.
Menurutnya, apabila ekosistem tersebut subur dan terpelihara, ia akan menjadi tarikan semula jadi kepada pelancong.
Perdana Menteri berkata, di seluruh Malaysia, inisiatif yang diterajui komuniti menunjukkan bahawa kelestarian pada asasnya berkaitan dengan manusia, para penggiat seni di kawasan kreatif, pemandu pelancong masyarakat orang asal di hutan hujan dan keluarga angkat di inap desa desa.
Menurutnya, inisiatif komuniti seperti koperasi ekopelancongan di bekas kampung pembalakan Batu Puteh di Sabah membuktikan bahawa pemerkasaan komuniti setempat dan perlindungan alam sekitar boleh bergerak seiring.
“Tugas kami adalah memastikan komuniti ini terus memiliki kemahiran, akses dan sokongan untuk memperkasa usaha sedemikian,” ujarnya.
Beliau berkata, isu besar yang perlu diakui ialah pelepasan karbon daripada aktiviti pelancongan, khususnya penerbangan, yang menyumbang separuh daripada pelepasan langsung sektor ini.
Jelasnya, Malaysia sedang bertindak balas dengan melabur secara besar-besaran dalam Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).
Tegasnya, dengan kemudahan berasaskan biojisim pertama akan beroperasi pada 2027 adalah satu langkah yang bukan sahaja mengurangkan karbon dalam perjalanan udara, tetapi turut mencipta industri dan pekerjaan hijau baharu. – UTUSAN