Petronas perlu iktiraf Petros sebagai pengagregat gas tunggal - Penasihat Undang-Undang Sarawak

Petronas perlu iktiraf Petros sebagai pengagregat gas tunggal – Penasihat Undang-Undang Sarawak

Sarawak terus desak Petronas iktiraf Petros sebagai agregator tunggal gas di negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Penasihat undang-undang Sarawak, Datuk Seri JC Fong mahu Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menghormati undang-undang Sarawak dan mengiktiraf Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat gas tunggal di bawah Ordinan Agihan Gas (DGO) negeri, yang telah dipinda pada 2023.

Memetik laporan Dayak Daily, Fong berkata, Sarawak hanya menerima kira-kira RM49 bilion bayaran tunai daripada Petronas antara 1975 hingga 2024 di bawah perjanjian royalti petroleum antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, Sarawak hanya menerima lima peratus manakala baki 95 peratus nilai minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri itu disimpan oleh syarikat minyak nasional tersebut.

“Dari tahun 1975 hingga 2024, Sarawak hanya menerima kira-kira RM49 bilion dalam bentuk bayaran tunai daripada Petronas.

“Baki 95 peratus pula pergi kepada Petronas daripada sumber minyak dan gas yang ditemui di Sarawak,” katanya sebagai jawapan balas kepada artikel di Politikonomi baru-baru ini bertajuk  ‘Tangan ghaib Fuzhou China di sebalik tuntutan agregator gas Sarawak TERBONGKAR’.

Fong menegaskan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan jumlah manfaat kewangan Sarawak daripada industri minyak dan gas melebihi RM96 bilion setakat 2024 yang merangkumi royalti, dividen dan cukai jualan, angka itu masih jauh daripada nilai sebenar kekayaan minyak dan gas Sarawak .

Namun begitu beliau menekankan bahawa Sarawak telah menggunakan bahagian hasil yang kecil itu dengan berhemah untuk membiayai pembangunan infrastruktur transformasi, termasuk Jalan Trunk Kedua, lebuh raya pesisir, jambatan ikonik, sekolah menengah antarabangsa, serta inisiatif pendidikan percuma yang bakal dilaksanakan. 

Katanya, semua inisiatif ini memberi manfaat kepada seluruh komuniti di Sarawak, bukan hanya satu kumpulan etnik atau elit politik” .

Fong berkata, dengan mengambil alih semula kawalan agihan gas melalui Petros, Sarawak telah mula menyalurkan manfaat terus kepada rakyat  antaranya bekalan gas percuma untuk keluarga B40 di Sungai Plan, Bintulu dan Quadruplex Ceria, Miri.

Katanya, ia sesuatu yang tidak pernah diberikan oleh Petronas sepanjang lebih 40 tahun beroperasi di negeri itu .

Beliau memberi amaran bahawa naratif palsu yang cuba menjejaskan kepimpinan Sarawak berisiko melemahkan sokongan rakyat yang sekian lama menjadi tonggak operasi Petronas di negeri ini.

“Semua yang rakyat Sarawak mahukan ialah penghormatan sewajarnya daripada Petronas terhadap undang-undang Sarawak, penggunaan sumber gas secara mampan, serta peruntukan gas yang mencukupi untuk menyokong Peta Jalan Gas negeri, yang jika dilaksanakan dengan berjaya, mampu menyumbang RM130 bilion setahun kepada KDNK negara,” katanya . – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN