Skim ToU didik pengguna jimat tenaga

Skim ToU didik pengguna jimat tenaga

MOHD. Azman Mustapha menunjukkan penurunan penggunaan elektrik yang boleh dilihat menerusi aplikasi myTNB sekali gus memberikan kawalan kepada pengguna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skim Masa Penggunaan atau Time of Use (ToU) yang diperkenalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pengguna domestik merupakan antara inisiatif yang bertujuan untuk memaksimumkan penjimatan tenaga.

Skim ini adalah sebahagian dari­pada penyesuaian yang dilakukan susulan pelaksanaan tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, dalam usaha menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan terkawal.

Menurut pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, skim ToU membolehkan pengguna menjimatkan bil elektrik dengan menukar corak penggunaan ke luar waktu puncak.

Katanya, pengguna yang dapat menjadualkan aktiviti pemakaian tenaga elektrik ke luar waktu puncak berpotensi menikmati penjimatan ketara setiap bulan.

“ToU adalah pendekatan ta­rif berdasarkan masa penggunaan tenaga elektrik yang mana kadar tarif berbeza dikenakan mengikut waktu puncak dan luar waktu puncak.

“Kadar waktu luar puncak adalah lebih rendah dan ini boleh membantu pengguna mengurangkan bil jika mereka dapat merancang penggunaan tenaga dengan bijak,” katanya.

JASRUL JAMANI JAMIAN

Waktu puncak ditetapkan antara 2 petang hingga 10 malam, manakala waktu luar puncak bermula 10 malam hingga 2 petang keesokannya pada hari bekerja. Manakala, sepanjang hari sabtu dan ahad serta cuti umum terpilih ditetapkan pada kadar luar puncak.

Tambah beliau, pelaksanaan ToU bukan sahaja menjimatkan, malah berperanan mendidik ma­syarakat agar mengamalkan cekap tenaga yang semakin relevan dalam era kos sara hidup tinggi dan keperluan kelesta­rian.

“ToU bukanlah wajib dan ia bukan automatik. Ia adalah pilihan yang diberikan kepada pengguna. Pengguna boleh menyemak corak penggunaan elektrik terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk memilih skim ToU. Jika mereka rasa mereka boleh ubah gaya penggunaan tenaga, maka ToU sesuai untuk mereka.

“Bagi pengguna yang mempunyai fleksibiliti masa atau bekerja dari rumah, ToU memberi kelebihan tambahan kerana mereka lebih mudah mengatur semula aktiviti tenaga tinggi ke luar waktu puncak.

“ToU adalah satu pendekatan ke arah penggunaan tenaga yang lebih pintar dan responsif terhadap permintaan tenaga sebenar. Di negara maju, pendekatan sebegini telah terbukti berkesan dalam menguruskan beban tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Mohd Azman Mustapha, 50, berkata skim ToU memberikan manfaat ketara, terutama dari segi penjimatan bil dan meningkatkan kesedaran terhadap corak penggunaan elektrik di rumah.

Katanya, sejak beralih kepada skim ToU, beliau mula mengubah gaya hidup harian dengan menyusun semula waktu penggunaan peralatan elektrik supaya lebih tertumpu pada waktu luar puncak.

“Saya mula mengubah gaya hidup dengan mengurangkan penggunaan barangan elektrik ketika waktu puncak. Penyaman udara di rumah, saya pasang selepas jam 10 malam. Saya juga mula menggunakan mesin basuh dan menggosok baju pada waktu pagi.

“Ya, agak banyak. Bil elektrik saya sebelum ini sekitar RM390 hingga RM420 sebulan, tetapi sejak beralih kepada skim ToU, bil turun kepada RM330 bulan ini,” katanya.

SKIM Masa Penggunaan atau Time of Use (ToU) yang diperkenalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu memberikan pengguna kawalan terhadap penggunaan elektrik harian.

Beliau yang tinggal di kawasan Kajang dengan tiga isi rumah berkata, penjimatan itu dicapai hasil daripada pelarasan aktiviti seharian yang kini dialihkannya waktu malam dan hujung minggu.

Tambah beliau, skim itu membolehkan beliau merancang seterusnya mengawal penggunaan tenaga secara bijak malah senang diamalkan.

“Nak amalkan itu agak mudah, hanya tukar corak penggunaan kepada waktu luar puncak. Saya suka penjimatan, pengurangan bil dan kesedaran penggunaan,” katanya.

Mohd. Azman turut menyifatkan struktur tarif elektrik baharu yang diumumkan TNB melalui portal myTNB banyak memberikan kesan positif.

Beliau juga menyarankan orang ramai agar mempertimbangkan untuk beralih kepada skim ToU, khususnya mereka yang bersedia menyesuaikan corak penggunaan elektrik.

“Memang bagus. Bil elektrik saya turun sebanyak RM85 bulan ini. Harga turun banyak sejak beralih ke ToU, amat berbaloi bertukar kepada ToU,” katanya.

Pelanggan berdaftar boleh menukar kontrak tarif kepada Tarif ToU melalui saluran berikut:
• Portal myTNB
• Kunjungi Kedai Tenaga yang terdekat
• Emel ke [email protected]
• Layari mytnb.com.my/tariff untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN