Tujuh premis perlombongan bitcoin diserbu, TNB rugi RM15.5 juta

Tujuh premis perlombongan bitcoin diserbu, TNB rugi RM15.5 juta

MUHAMMAD Abdul Halim (kiri) meninjau aksesori yang dirampas dipercayai digunakan bagi aktiviti perlombongan bitcoin dalam serbuan di sekitar Kuala Perlis dan Kangar pada minggu lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis menyerbu tujuh premis yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar kawasan Kuala Perlis dan Kangar pada Rabu lepas.

Serbuan antara pukul 9 pagi hingga 5.40 petang itu dilaksanakan di premis sekitar kawasan Pusat Perniagaan Marina Kuala Perlis, Kompleks Perniagaan Kuala Perlis, Taman Sri Hartamas, Kangar, Taman Ira Jaya, Kangar, Wisma Perkumpulan Perempuan Kangar dan Taman Kangar Jaya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, semasa serbuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut membantu dengan melakukan pemotongan kunci mangga di premis terlibat bagi membolehkan polis bersama juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) masuk untuk menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, TNB mendapati terdapatnya bukti-bukti secara munasabah berlakunya kesalahan kecurian bekalan elektrik di premis terlibat dengan penyambungan secara haram bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin ini,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Simpang Empat, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, hasil serbuan itu, kegiatan berkenaan dipercayai telah beroperasi antara tempoh tiga bulan hingga setahun malah anggaran kerugian dialami TNB ekoran kecurian elektrik itu juga dianggarkan bernilai sekitar RM15.5 juta.

Katanya, menerusi serbuan di premis Taman Sri Hartamas, seorang suspek lelaki berusia 19 tahun turut ditahan bersama beberapa rampasan barangan seperti 33 set perlombongan bitcoin, sebuah komputer riba, dua unit router wifi, telefon bimbit dan beberapa lagi.

“Berdasarkan penilaian, semua rampasan aksesori melibatkan aktiviti perlombongan bitcoin di semua premis diserbu ini adalah berjumlah RM958,000,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN