KOTA BHARU: Kerajaan terus cakna dalam dunia pendidikan apabila memperuntukkan RM7.9 juta menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada 53,055 pelajar Tingkatan Enam baharu yang memulakan sesi persekolahan 2025/2026 pada 10 Jun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan inisiatif itu menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan program Tingkatan Enam sekali gus membantu meringankan beban persekolahan pelajar.

“Setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM150. Agihan BAP akan dilaksanakan bermula 4 Ogos secara serahan tunai melalui program pertemuan dengan ibu bapa atau penjaga yang akan diaturkan oleh pihak sekolah.
“Walau bagaimanapun, sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak dapat hadir, sekolah boleh menyerahkan BAP kepada murid dengan kebenaran bertulis (ibu bapa atau penjaga),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester 1 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, inisiatif kali pertama yang diperkenalkan kepada pelajar tingkatan enam tahun ini itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM15 juta.
Katanya, lebih 100,000 pelajar akan menerima manfaat hasil pelaksanaan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Sementara itu, seorang penerima Nurhusniza Zaidi, 18, berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan BAP kepada pelajar Tingkatan Enam dan disifatkan memberi banyak manfaat.
Katanya, dia akan menggunakan sumbangan itu untuk membeli bahan rujukan sebagai persediaan menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Persediaan awal penting bagi memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Tekad saya untuk meraih keputusan cemerlang dalam STPM nanti,” katanya.

Seorang lagi penerima Nur Sarah Syarmimi Saripudin, 18, menyifatkan bantuan itu membantu meringankan ibu dan bapanya.
“Saya bersyukur dengan pemberiaan ini. Terima kasih kepada kerajaan. Sumbangan ini akan dimanfaatkan sebagai mungkin untuk proses pembejalaran,” ujarnya.
Bagi Muhammad Hanif Mohd. Sofian, 18, pula, BAP yang diperkenalkan kerajaan itu amat membantu khususnya pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, dia berharap semua penerima dapat menafaatkan BAP itu dengan belajar bersungguh-sungguh seterusnya memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM nanti. – UTUSAN