KUALA LUMPUR: Musim terbaharu Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 membuka tirai dengan penuh semangat apabila Astro sekali lagi tampil sebagai penyiar rasmi dengan menawarkan liputan menyeluruh dan pengalaman istimewa buat peminat bola sepak tanah air.
Bertemakan One for the Fans, Astro memberi penghargaan kepada peminat yang menjadi nadi kepada EPL di Malaysia.
Melalui inisiatif ini, Astro bukan sahaja menyiarkan kesemua 380 perlawanan secara langsung, malah turut menjanjikan siri acara bersama komuniti, sesi tontonan terbuka, hadiah eksklusif serta pelbagai aktiviti menarik sepanjang musim.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, peminat bola sepak Malaysia merupakan antara yang paling bersemangat di dunia dan menjadikan setiap musim EPL sebagai satu perayaan penuh warna-warni.
“Peminat di Malaysia menjadikan setiap perlawanan sebagai sambutan penuh kemeriahan, setiap jaringan sebagai satu kenangan dan setiap musim sebagai kisah yang dikongsi bersama.
“Dengan One for the Fans, Astro meletakkan peminat di hadapan segala aksi dengan memberikan akses yang lebih mudah, liputan tanpa tandingan serta pengalaman tontonan terbaik di mana sahaja,” katanya.
Selain siaran langsung kesemua 380 perlawanan, program lain bakal diadakan adalah analisis pakar, tontonan perlawanan terpilih dalam 4K UHD serta ulasan dalam pelbagai bahasa.
Selain itu, Astro akan turun padang bertemu peminat menerusi acara tontonan terbuka, tayangan komuniti serta sesi bersama peminat
Astro juga menghargai sokongan peminat dengan menawarkan hadiah menarik termasuk barangan eksklusif, pengalaman hari perlawanan dan peluang menyaksikan aksi EPL secara langsung di United Kingdom.
Peminat turut diberi ruang lebih luas untuk terlibat dalam liputan perlawanan melalui interaksi media sosial dan sorakan peminat yang bakal diangkat dalam siaran rasmi.
Bagi menjadikan musim ini lebih meriah, Astro sekali lagi bekerjasama dengan Wonda Coffee, Zetrix oleh MYEG dan YES sebagai penaja penyiaran rasmi Liga Perdana Inggeris 2025/26.
Peminat boleh menyaksikan EPL secara langsung melalui Astro, sooka dan NJOI dan pelanggan Pek Sports Astro boleh mendapat akses penuh termasuk siaran terpilih dalam 4K UHD melalui Ultra Box, selain pilihan strim di Astro GO.
Sementara itu, pelanggan sooka boleh melanggan pelan Sports & Entertainment untuk menikmati semua perlawanan EPL secara langsung.
Bagi yang ingin menonton di skrin televisyen, sooka menawarkan pelan premium bermula serendah RM29.60 sebulan untuk tiga bulan pertama serta promosi ulang tahun turut disediakan dengan pakej 24 bulan hanya pada RM462 sesuai untuk menikmati dua musim penuh EPL.-UTUSAN