KUALA LUMPUR: Sabah mengekalkan prestasi cemerlang dalam sektor perdagangan apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM107.8 bilion pada tahun 2024, melepasi paras RM100 bilion untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi berterusan itu menunjukkan kekuatan perdagangan negeri meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Jumlah dagangan Sabah meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan eksport bernilai RM61.3 bilion mencatat penurunan sebanyak 2.3 peratus.
“Malah, import Sabah mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 10.2 peratus daripada RM42.2 bilion kepada RM46.4 bilion menyebabkan lebihan dagangan susut kepada RM14.9 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, terdapat tiga komoditi yang menyumbang kepada eksport negeri itu antaranya petroleum mentah (RM21.3 bilion),minyak kelapa sawit (RM17.3 bilion) dan gas asli cecair (RM4.6 bilion) yang secara keseluruhannya menyumbang 70.4 peratus daripada nilai eksport Sabah.
Sementara itu, import pula dipacu oleh produk seperti petroleum bertapis (RM5.2 bilion), baja dikilangkan (RM1 bilion) dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (RM266 juta).
Mengulas lanjut, beliau berkata, eksport Sabah merangkumi transaksi antarabangsa dan antara wilayah iaitu Semenanjung dan Sarawak berdasarkan aktiviti fizikal di pintu masuk negeri.
“Dari segi eksport antarabangsa, Sabah mencatat peningkatan 0.9 peratus kepada RM39.2 bilion. Namun, eksport ke Semenanjung Malaysia menyusut 7.2 peratus kepada RM20.5 bilion disebabkan pengurangan penghantaran petroleum mentah, minyak sawit dan produk oleokimia,” katanya.
Dalam masa sama, Uzir katanya, peningkatan import turut disumbang oleh dagangan lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia yang melonjak 14.9 peratus atau RM3.9 bilion, daripada RM26 bilion pada tahun sebelumnya.
“Sabah juga merekodkan peningkatan import dari Indonesia (49.7 peratus), Thailand (7.5 peratus) dan China (2.4 peratus), dengan peningkatan tertinggi dicatat dalam kategori makanan dan minuman (10.2 peratus) serta bekalan perindustrian (9 peratus).
“Secara keseluruhan, Semenanjung Malaysia menyumbang 46.8 peratus kepada jumlah dagangan Sabah manakala China, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan India kekal sebagai rakan dagang utama peringkat antarabangsa dengan sumbangan 26.8 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Perangkaan turut menerbitkan statistik perdagangan luar negeri tahunan melibatkan 15 negeri bagi tempoh 2019 hingga 2024.
“Berdasarkan nilai perdagangan antarabangsa, Sabah mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM43.0 bilion pada 2024, naik 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, eksport mencatat peningkatan 3.2 peratus kepada RM32.1 bilion, manakala import meningkat 5.0 peratus kepada RM10.9 bilion,” ujarnya.
Peningkatan jumlah perdagangan menunjukkan Sabah berada di bawah pemerintahan yang tepat dalam mencapai objektif status negeri berpendapatan tinggi.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini berkata, menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerajaan negeri telah merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai langkah proaktif untuk memacu pembangunan Sabah bermula 2026 hingga 2030.
“Ia juga merupakan kerangka awal yang mengambil kira keperluan dasar, blueprint dan pelan pembangunan semasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah merupakan antara penerima tertinggi dalam Belanjawan Nasional tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM6.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat persekutuan.
“Ia juga menunjukkan bahawa kami sangat serius dan akan berusaha untuk meningkatkan pembangunan negeri.
“Kita mesti melakukan perubahan paradigma untuk memastikan kejayaan semua rancangan kita. Kita juga perlu menanggalkan proses yang usang dan mengubah sikap yang memberi tumpuan kepada negatif tanpa menilai atau mengiktiraf kejayaan atau sumbangan yang dibuat kepada negeri,” katanya. – UTUSAN