PETALING JAYA: Sabah berpotensi besar menjadi hab utama industri minyak dan gas (O&G) huluan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sekiranya momentum pelaburan dan pengurusan sumber diuruskan secara mampan.
Trend terkini menunjukkan Sabah kini menonjol sebagai destinasi pelaburan asing (FDI) dalam O&G huluan kerana prospek tenaga Sabah yang dianggap lebih segar dan kurang tepu berbanding Sarawak yang sebelum ini dilihat lebih dominan.
Pada tahun 2017, negeri itu mengeluarkan kira-kira 258,000 tong minyak sehari, mewakili lebih 42 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah Malaysia mengatasi negeri lain termasuk Sarawak dan Semenanjung.
Menjelang 2021, negeri itu terus mengekalkan kedudukannya apabila menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran negara. Lonjakan itu didorong oleh kejayaan projek laut dalam seperti Gumusut-Kakap, Malikai, serta kemasukan blok baharu seperti K, SK429, dan PFLD.
Projek seperti Projek Gumusut-Kakap-Geronggong-Jagus East (GKGJE) di perairan Sabah yang kini memasuki Fasa 4 telah menghasilkan kira-kira 21,000 tong minyak sehari memperkukuh peranan Sabah sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor O&G negara serta menjadi antara pemacu utama peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa.
Dengan rizab tenaga dianggarkan sekitar 1.5 bilion tong minyak dan 11 trilion kaki padu gas, serta perkembangan kawasan baharu seperti Blok K dan SK429, Sabah berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab utama O&G Malaysia.

Selain itu, dua daripada 14 kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dalam Malaysia Bid Round 2024 membabitkan kawasan perairan Sabah memberikan petunjuk kukuh terhadap potensi sektor huluan negeri ini.
Berdasarkan data perdagangan, Sabah mencatat nilai perdagangan RM107.8 bilion pada 2024, meningkat 2.7 peratus berbanding RM105 bilion tahun sebelumnya, mencerminkan kestabilan aliran masuk pelaburan.
Walaupun Sarawak masih merekodkan nilai perdagangan lebih tinggi iaitu RM198.7 bilion namun negeri itu dilihat tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam pelaburan baharu sektor O&G huluan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berpandangan bahawa kejayaan Sabah dalam menarik pelaburan-pelaburan besar didorong oleh beberapa faktor utama.
“Kewujudan rizab petroleum yang besar dan masih belum diterokai sepenuhnya di Sabah khususnya di kawasan berpotensi tinggi seperti Blok K serta projek perairan dalam seperti Projek Floating LNG Dua (PFLD) dilihat antara faktornya.
“Selain itu, dasar mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi seperti SMJ membantu kepada kelulusan pelaburan yang lebih cekap termasuk insentif fiskal yang kompetitif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan ini juga turut didorong oleh kemudahan sokongan logistik seperti Pelabuhan Kimanis dan Terminal LNG yang berperanan sebagai infrastruktur strategik dalam rantaian bekalan tenaga.
Malah, jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan syarikat antarabangsa seperti Shell dan PTTEP secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelabur global terhadap kestabilan serta kredibiliti ekosistem pelaburan Sabah.
Tambahnya, pergerakan momentum pelaburan yang berterusan serta pengurusan sumber yang mampan, Sabah berpotensi besar untuk muncul sebagai hab baharu industri O&G Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Ini bukan sahaja akan merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur luar bandar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan supaya kerajaan negeri memberi penekanan terhadap aspek pengurusan lestari sumber alam serta memastikan manfaat hasil pelaburan diagihkan secara inklusif dan adil kepada rakyat. – UTUSAN