PMKS terima manfaat adaptasi amalan ESG, penggunaan e-Invois

PMKS terima manfaat adaptasi amalan ESG, penggunaan e-Invois

RIZAL Nainy  (tengah) bergambar bersama peserta pada Seminar e-Invois untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam Siri Kelestarian PMKS 2025 di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Pelaksanaan prinsip kelestarian menerusi pendekatan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta penggunaan sistem e-Invois diyakini mampu memperkukuh daya saing serta ketahanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.

Inisiatif berkenaan digerakkan menerusi penganjuran dalam Siri Kelestarian PMKS 2025 anjuran SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang berlangsung dua hari bermula 16 Julai lalu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Program tersebut memberi tumpuan kepada pendedahan praktikal terhadap amalan ESG dalam operasi perniagaan selain memberi pemahaman menyeluruh tentang pelaksanaan e-Invois selaras dengan transformasi digital negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, penerapan e-Invois adalah satu langkah strategik selari dengan prinsip tadbir urus di bawah ESG, yang bukan sahaja meningkatkan ketelusan dan pematuhan pelaporan kewangan tetapi menyokong matlamat negara ke arah sistem kewangan lebih cekap dan berintegriti.

“PMKS harus berani mengambil langkah pertama, walaupun kecil dalam mendepani perubahan itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang mapan dan mampu berdaya saing dalam pasaran yang semakin mencabar,” katanya ketiak berucap pada program itu.

Melalui Bengkel ESG 2025: Dari Teori ke Amali, para peserta diberikan panduan praktikal berasaskan buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS yang diterbitkan oleh SME Corp. Malaysia bagi memudahkan pemahaman dan pelaksanaan amalan kelestarian dalam perniagaan masing-masing.

Program itu turut menampilkan Seminar e-Invois yang memberi pendedahan menyeluruh kepada PMKS mengenai konsep, manfaat dan keperluan pelaksanaan sistem berkenaan.

Peserta dibimbing secara langsung mengenai penggunaan portal MyInvois selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Kemuncak program adalah penganjuran Hari Terbuka PMKS@Terengganu pada 17 Julai yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman yang Pengerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), 

Acara itu mendapat kerjasama penuh daripada YPU Terengganu dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi bicara berskala kecil, jaringan perniagaan serta kaunter khidmat nasihat.

Sebanyak 20 reruai pameran dibuka kepada umum melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan swasta antaranya TEKUN Nasional, SME Bank, YPU dan Celcom yang menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk pembiayaan, latihan dan pendigitalan kepada usahawan.

Program Siri Kelestarian PMKS 2025 itu juga berjaya menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil institusi kewangan, ahli akademik, usahawan serta penceramah bertauliah daripada Malaysian Association of Public Advocacy for Nature (MAPAN) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, sekaligus menjadi platform holistik dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan secara bersepadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN